Yeremia 29:16-22 BM

16 Dengarlah apa yang difirmankan TUHAN tentang raja yang memerintah negeri yang diperintah oleh Daud dahulu, dan tentang penduduk kota ini, iaitu sanak saudara kamu yang tidak dibawa ke pembuangan bersama-sama kamu.

17 TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, ‘Aku akan mendatangkan peperangan, kebuluran, dan wabak penyakit kepada mereka. Aku akan memperlakukan mereka seperti buah ara yang terlalu busuk sehingga tidak dapat dimakan.

18 Aku akan mengejar mereka dengan peperangan, kebuluran, dan wabak sehingga semua bangsa di seluruh dunia ngeri melihat keadaan mereka. Di mana-mana Aku mencerai-beraikan mereka, orang akan ngeri dan takut melihat apa yang telah berlaku kepada mereka. Mereka akan diejek, dan nama mereka digunakan sebagai kutuk.

19 Semua hal itu berlaku kepada mereka kerana mereka tidak menurut perkhabaran-Ku yang Aku sampaikan terus-menerus kepada mereka melalui para nabi, hamba-hamba-Ku. Mereka tidak mahu mendengarkan perkhabaran-Ku itu.

20 Kamu semua yang telah Kubuang ke Babilonia, dengarlah apa yang Aku, TUHAN, firmankan.’

21 TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, telah berfirman tentang Ahab anak Kolaya, dan tentang Zedekia anak Maaseya, yang menggunakan nama TUHAN untuk menyampaikan dusta kepada kamu. TUHAN berfirman bahawa Dia akan menyerahkan mereka kepada kekuasaan Raja Nebukadnezar dari Babilonia, yang akan membunuh mereka di hadapan kamu.

22 Apabila orang yang telah dibawa dari Yerusalem ke Babilonia, hendak mengutuk seseorang, mereka akan berkata, ‘Semoga TUHAN memperlakukan engkau seperti Zedekia dan Ahab, yang telah dibakar hidup-hidup oleh raja Babilonia.’