Yeremia 29:19-26 BM

19 Semua hal itu berlaku kepada mereka kerana mereka tidak menurut perkhabaran-Ku yang Aku sampaikan terus-menerus kepada mereka melalui para nabi, hamba-hamba-Ku. Mereka tidak mahu mendengarkan perkhabaran-Ku itu.

20 Kamu semua yang telah Kubuang ke Babilonia, dengarlah apa yang Aku, TUHAN, firmankan.’

21 TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, telah berfirman tentang Ahab anak Kolaya, dan tentang Zedekia anak Maaseya, yang menggunakan nama TUHAN untuk menyampaikan dusta kepada kamu. TUHAN berfirman bahawa Dia akan menyerahkan mereka kepada kekuasaan Raja Nebukadnezar dari Babilonia, yang akan membunuh mereka di hadapan kamu.

22 Apabila orang yang telah dibawa dari Yerusalem ke Babilonia, hendak mengutuk seseorang, mereka akan berkata, ‘Semoga TUHAN memperlakukan engkau seperti Zedekia dan Ahab, yang telah dibakar hidup-hidup oleh raja Babilonia.’

23 Begitulah kesudahan mereka kerana mereka melakukan dosa-dosa besar di Israel: mereka berzina, dan menggunakan nama TUHAN untuk berdusta. Perbuatan itu bertentangan dengan kehendak TUHAN. Dia tahu apa yang dilakukan mereka, dan Dia sendiri menjadi saksi yang melawan mereka. TUHAN telah berfirman.”

24-25 TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel memberikan perkhabaran kepadaku untuk Semaya, orang Nehelam, kerana Semaya telah mengirim surat dengan menggunakan namanya sendiri kepada semua penduduk Yerusalem, kepada Imam Zefanya anak Maaseya dan kepada semua imam yang lain. Surat yang ditulis oleh Semaya kepada Zefanya berbunyi demikian,

26 “TUHAN telah melantik engkau menjadi imam untuk menggantikan Yoyada, dan sekarang engkaulah pegawai tertinggi di Rumah TUHAN. Engkau bertanggungjawab untuk memastikan supaya setiap orang gila yang mengaku dirinya nabi, dibelenggu dengan rantai besi pada lehernya.