1 TUHAN berfirman, “Masanya akan tiba apabila Aku menjadi Allah kepada semua suku Israel, dan mereka akan menjadi umat-Ku.
2 Dahulu di gurun Aku menunjukkan belas kasihan kepada mereka yang terlepas daripada maut. Ketika umat Israel mencari ketenangan,
3 dari jauh Aku menampakkan diri kepada mereka. Hai umat Israel, sejak dahulu Aku selalu mengasihi kamu, dan untuk seterusnya Aku akan menunjukkan bahawa Aku selalu mengasihi kamu.
4 Aku akan mengukuhkan kedudukan kamu semula. Sekali lagi kamu akan mengambil tamburin dan menari dengan gembira.