16 Selepas aku memberikan surat-surat pembelian itu kepada Barukh, aku berdoa,
17 “Ya TUHAN Raja, Engkaulah yang menciptakan langit dan bumi dengan kuasa dan kekuatan-Mu yang besar. Tiada yang terlalu sukar bagi-Mu.
18 Engkau menunjukkan kasih-Mu yang abadi kepada beribu-ribu orang, tetapi Engkau juga menghukum orang kerana dosa ibu bapa mereka. Engkaulah Allah yang agung dan perkasa; Engkaulah TUHAN Yang Maha Kuasa.
19 Rancangan-Mu bijak dan perbuatan-Mu ajaib; Engkau nampak segala yang dilakukan manusia, dan membalas mereka setimpal dengan perbuatan mereka.
20 Pada dahulu kala Engkau melakukan keajaiban dan hal-hal yang luar biasa di Mesir, dan sampai sekarang pun Engkau masih melakukannya, baik di kalangan orang Israel mahupun di kalangan semua bangsa lain. Dengan demikian Engkau termasyhur di merata tempat.
21 Engkau membawa umat Israel keluar dari Mesir dengan kuasa dan kekuatan-Mu. Engkau melakukan mukjizat dan keajaiban yang menggemparkan musuh.
22 Engkau memberikan negeri yang baik dan subur ini kepada mereka, seperti yang telah Engkau janjikan kepada nenek moyang mereka.