8 Tepat seperti yang telah difirmankan TUHAN, Hanameel datang kepadaku di halaman istana, dan minta supaya aku membeli tanahnya. Dengan itu yakinlah aku bahawa TUHAN benar-benar telah berfirman kepadaku.
9-10 Aku membeli tanah itu daripada Hanameel dengan harga tujuh belas keping wang perak. Aku memanggil beberapa orang saksi dan di hadapan mereka, aku menandatangani dan memeteraikan surat pembelian tanah itu, lalu aku menimbang wang pembayarannya.
11 Kemudian aku mengambil surat pembelian itu, yang telah dimeterai dan mengandungi syarat serta ketetapan, dan aku juga mengambil salinan surat yang tidak dimeterai.
12 Aku memberikan kedua-dua helai surat itu kepada Barukh anak Neria, cucu Mahseya. Aku menyerahkannya di hadapan Hanameel serta saksi-saksi yang telah menandatangani surat-surat itu, dan di hadapan semua orang yang sedang duduk di halaman itu.
13 Di hadapan mereka semua, aku berkata kepada Barukh,
14 “TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, memerintahkan engkau mengambil kedua-dua helai surat ini, baik yang dimeterai mahupun yang tidak dimeterai. Masukkan kedua-dua helai surat itu ke dalam sebuah tempayan supaya tahan lama.
15 TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, berfirman bahawa rumah, tanah, dan ladang anggur akan dibeli lagi di negeri ini.”