14 TUHAN berfirman, “Akan tiba masanya apabila Aku menepati janji-Ku kepada penduduk Israel dan Yehuda.
15 Pada masa itu Aku akan memilih seorang yang adil daripada keturunan Daud untuk menjadi raja. Raja itu akan melakukan apa yang benar dan adil di seluruh negeri.
16 Penduduk Yehuda dan Yerusalem akan diselamatkan, dan mereka akan hidup dengan aman. Kota itu akan dinamakan ‘TUHAN Penyelamat Kita’.
17 Aku, TUHAN, berjanji bahawa selalu akan ada seorang daripada keturunan Daud yang menjadi raja Israel;
18 dan selalu akan ada imam daripada suku Lewi untuk mengabdi kepada-Ku dan mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati-Ku, korban untuk mengucap syukur kepada-Ku, dan korban-korban lain.”
19 TUHAN berfirman kepadaku,
20 “Aku telah membuat perjanjian dengan siang dan malam, supaya siang dan malam selalu datang tepat pada waktunya. Perjanjian itu tidak dapat dibatalkan.