5 Beberapa orang akan berperang melawan orang Babilonia, yang akan memenuhkan rumah-rumah dengan mayat orang yang Aku pukul sehingga mati ketika Aku murka dan berang. Aku telah meninggalkan kota ini kerana kejahatan penduduknya.
6 Tetapi kelak Aku akan memulihkan keadaan kota ini dan menyembuhkan penduduknya. Aku akan melimpahkan kedamaian dan keamanan kepada mereka.
7 Aku akan menjadikan Yehuda dan Israel makmur, dan membangun mereka semula sehingga menjadi seperti dahulu.
8 Aku akan menyucikan mereka daripada dosa mereka terhadap-Ku; Aku akan mengampunkan dosa dan pemberontakan mereka.
9 Yerusalem akan menjadi kegembiraan, kehormatan, dan kebanggaan-Ku. Semua bangsa di dunia akan takut dan gentar, apabila mendengar tentang segala kebaikan yang Aku lakukan untuk penduduk Yerusalem, dan tentang kemakmuran yang Aku berikan kepada kota itu.”
10 TUHAN berfirman, “Orang berkata bahawa tempat ini seperti gurun, dan tiada orang atau binatang yang tinggal di sini. Kata-kata mereka memang benar, kerana kota-kota Yehuda dan jalan-jalan di Yerusalem lengang semuanya; tiada orang atau binatang yang tinggal di situ. Tetapi di tempat-tempat itu akan terdengar lagi
11 suara kesukaan dan kegembiraan serta keriuhan pesta perkahwinan. Kami akan mendengar orang menyanyi sambil mereka membawa korban kesyukuran ke Rumah-Ku. Mereka akan berkata,‘Bersyukurlah kepada TUHAN Yang Maha Kuasa,kerana Dia baikdan kasih-Nya kekal abadi.’Aku akan menjadikan negeri ini makmur seperti dahulu. Aku, TUHAN, telah berfirman.”