8 Aku akan menyucikan mereka daripada dosa mereka terhadap-Ku; Aku akan mengampunkan dosa dan pemberontakan mereka.
9 Yerusalem akan menjadi kegembiraan, kehormatan, dan kebanggaan-Ku. Semua bangsa di dunia akan takut dan gentar, apabila mendengar tentang segala kebaikan yang Aku lakukan untuk penduduk Yerusalem, dan tentang kemakmuran yang Aku berikan kepada kota itu.”
10 TUHAN berfirman, “Orang berkata bahawa tempat ini seperti gurun, dan tiada orang atau binatang yang tinggal di sini. Kata-kata mereka memang benar, kerana kota-kota Yehuda dan jalan-jalan di Yerusalem lengang semuanya; tiada orang atau binatang yang tinggal di situ. Tetapi di tempat-tempat itu akan terdengar lagi
11 suara kesukaan dan kegembiraan serta keriuhan pesta perkahwinan. Kami akan mendengar orang menyanyi sambil mereka membawa korban kesyukuran ke Rumah-Ku. Mereka akan berkata,‘Bersyukurlah kepada TUHAN Yang Maha Kuasa,kerana Dia baikdan kasih-Nya kekal abadi.’Aku akan menjadikan negeri ini makmur seperti dahulu. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
12 TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Di negeri yang seperti padang gurun ini, yang tidak didiami oleh manusia ataupun binatang, sekali lagi akan terdapat padang rumput, tempat orang menggembalakan domba mereka.
13 Di kota-kota di kawasan perbukitan, di kaki bukit, di bahagian selatan Yehuda, di wilayah Benyamin, di pekan-pekan di sekitar Yerusalem, dan di kota-kota Yehuda, sekali lagi para gembala akan menghitung domba mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
14 TUHAN berfirman, “Akan tiba masanya apabila Aku menepati janji-Ku kepada penduduk Israel dan Yehuda.