Yeremia 34:12-18-19 BM

12 Lalu TUHAN,

13 Allah Israel, menyuruh aku berkata kepada umat itu, “Aku telah membuat perjanjian dengan nenek moyang kamu ketika Aku membawa mereka keluar dari Mesir dan membebaskan mereka daripada perhambaan. Aku memberitahu mereka bahawa

14 tiap-tiap tujuh tahun mereka mesti membebaskan sesiapa sahaja orang Ibrani yang telah menjadi hamba mereka selama enam tahun. Tetapi nenek moyang kamu tidak memperhatikan atau mendengarkan firman-Ku.

15 Beberapa hari yang lalu, kamu melakukan perkara yang menyukakan hati-Ku. Kamu semua bersetuju untuk membebaskan sesama bangsa kamu yang menjadi hamba. Kamu membuat perjanjian di hadapan-Ku di Rumah-Ku, tempat Aku disembah.

16 Tetapi kemudian kamu mengubah fikiran dan menghina Aku. Hamba-hamba yang telah kamu bebaskan menurut kehendak mereka, telah kamu ambil kembali dan kamu paksa menjadi hamba semula.

17 Oleh itu sekarang, Aku, TUHAN, berfirman: Kamu tidak taat kepada-Ku; kamu tidak membebaskan sesama bangsa kamu yang menjadi hamba. Jika demikian, Aku akan memberi kamu kebebasan: kebebasan untuk mati kerana peperangan, wabak, dan kebuluran. Aku akan menyebabkan setiap bangsa di dunia ngeri melihat hal yang Aku lakukan kepada kamu.

18-19 Para pegawai negeri Yehuda dan Yerusalem, bersama para pegawai istana, para imam, dan segenap rakyat membuat perjanjian dengan Aku. Mereka menyembelih lembu jantan dan membelahnya menjadi dua, lalu berjalan di antara dua belahan lembu itu untuk mengesahkan perjanjian itu. Tetapi mereka melanggar perjanjian itu dan tidak memenuhi syarat-syaratnya. Oleh itu Aku akan memperlakukan mereka sebagaimana mereka memperlakukan lembu jantan itu.