26 Kemudian raja memerintah Putera Yerahmeel, Seraya anak Azriel, dan Selemya anak Abdeel untuk menangkap aku serta Barukh, setiausahaku, tetapi TUHAN menyembunyikan kami daripada mereka.
27 Selepas Raja Yoyakim membakar naskhah gulungan yang aku imlakkan kepada Barukh, TUHAN menyuruh aku
28 mengambil sebuah naskhah gulungan yang lain dan menuliskan semula segala isi naskhah gulungan yang pertama itu.
29 TUHAN menyuruh aku berkata kepada raja, “Engkau sudah membakar naskhah gulungan itu, dan engkau bertanya mengapa Yeremia menulis bahawa raja Babilonia akan datang, lalu memusnahkan negeri ini dan membunuh penduduknya serta semua binatang di situ.
30 Oleh itu, Aku, TUHAN, berfirman kepadamu, hai Raja Yoyakim, bahawa tiada seorang pun daripada keturunanmu akan memerintah kerajaan Daud. Mayatmu akan dibuang ke luar sehingga terjemur pada waktu siang dan terkena embun pada waktu malam.
31 Aku akan menghukum engkau, keturunanmu, dan pegawai-pegawaimu, kerana dosa kamu semua. Tiada sesiapa pun, baik engkau, penduduk Yerusalem ataupun Yehuda, yang mempedulikan amaran-Ku. Oleh itu, Aku akan mendatangkan bencana yang telah Aku ancamkan kepada kamu semua.”
32 Selepas itu aku mengambil sebuah naskhah gulungan lain dan memberikannya kepada Barukh, setiausahaku. Lalu dia menulis semua yang aku imlakkan itu. Dia menulis semua yang terkandung di dalam kitab gulungan yang pertama, dan juga perkhabaran lain seperti itu.