Yeremia 36:6-12 BM

6 Tetapi engkau mesti pergi ke sana pada masa orang berpuasa. Bacakanlah isi naskhah itu dengan suara lantang, supaya mereka mendengar segala yang telah difirmankan TUHAN kepadaku, dan yang telah kuimlakkan kepadamu. Engkau harus membacanya di tempat semua orang dapat mendengarnya, termasuk penduduk Yehuda yang telah datang dari kota-kota mereka.

7 Mungkin mereka akan berdoa kepada TUHAN dan berpaling daripada kejahatan mereka, kerana TUHAN telah mengancam mereka dengan kemurkaan dan berang-Nya.”

8 Oleh itu Barukh membacakan firman TUHAN itu di dalam Rumah TUHAN tepat seperti yang aku suruh.

9 Pada bulan kesembilan dalam tahun kelima pemerintahan Raja Yoyakim sebagai raja Yehuda, rakyat berpuasa supaya diperkenankan TUHAN. Semua orang yang tinggal di Yerusalem berpuasa dan orang yang datang ke sana dari kota-kota di Yehuda pun berpuasa.

10 Kemudian, sambil semua orang mendengar, Barukh membacakan naskhah gulungan yang mengandungi semua yang telah kukatakan. Dia membacakannya di Rumah TUHAN, di bilik Gemarya anak Safan, setiausaha negara. Biliknya terletak di halaman sebelah atas, dekat Pintu Gerbang Baru di Rumah TUHAN.

11 Mikhaya anak Gemarya, cucu Safan, mendengar Barukh membacakan firman TUHAN dari naskhah gulungan itu.

12 Kemudian Mikhaya pergi ke istana raja, ke bilik setiausaha negara. Pada masa itu semua pegawai istana sedang bermesyuarat. Elisama iaitu setiausaha negara, Delaya anak Semaya, Elnatan anak Akhbor, Gemarya anak Safan, Zedekia anak Hananya, dan semua pegawai lain ada di situ.