1 Sefaca anak Matan, Gedalya anak Pasyhur, Yukhal anak Selemya, dan Pasyhur anak Malkia mendengar bahawa aku memberitahu rakyat tentang
2 firman TUHAN, “Sesiapa tinggal di dalam kota ini akan mati dalam peperangan, atau kerana kelaparan, atau kerana wabak. Tetapi sesiapa keluar dan menyerah kepada orang Babilonia tidak akan dibunuh; sekurang-kurangnya dia akan hidup.”
3 Aku juga memberitahu mereka firman TUHAN bahawa Dia akan menyerahkan kota ini kepada tentera Babilonia, dan mereka akan merebut kota ini.
4 Lalu pegawai-pegawai itu menghadap raja dan berkata, “Orang ini mesti dihukum mati. Oleh sebab ucapannya itu, tentera kota ini akan lemah semangat, demikian juga setiap orang yang masih tinggal di kota ini. Dia tidak menolong rakyat; sebaliknya dia menyusahkan mereka.”
5 Raja Zedekia bertitah, “Baiklah, perlakukan dia sesuka hati kamu. Beta tidak dapat menghalang kamu.”
6 Oleh itu mereka membawa aku dan menurunkan aku dengan tali ke dalam perigi Putera Malkia. Perigi itu terletak di halaman istana. Perigi itu tidak berair, hanya berlumpur, lalu aku pun masuk ke dalam lumpur itu.
7 Tetapi orang Etiopia yang bernama Ebed-Melekh, iaitu sida-sida yang bekerja di istana, mendengar bahawa aku telah dimasukkan ke dalam perigi oleh pegawai-pegawai itu. Pada masa itu raja sedang memimpin mesyuarat di Pintu Gerbang Benyamin.