12 Dia menyuruh aku meletakkan kain-kain itu di bawah ketiakku, supaya aku tidak kesakitan apabila aku ditarik ke atas dengan tali itu. Aku pun melakukannya,
13 lalu mereka menarik aku keluar dari perigi itu. Sejak itu aku ditahan di halaman istana.
14 Pada suatu masa yang lain, Raja Zedekia memerintah aku menghadap baginda di pintu ketiga di Rumah TUHAN. Raja bertitah, “Beta hendak menanyakan satu soalan, dan engkau mesti berterus terang. Jangan sembunyikan apa-apa daripada beta.”
15 Aku menjawab, “Jika hamba berterus terang, tuanku akan menjatuhkan hukuman mati kepada hamba; dan jika hamba memberikan nasihat, tuanku tidak akan mempedulikannya.”
16 Oleh itu Raja Zedekia dengan diam-diam berjanji kepadaku, “Beta bersumpah demi TUHAN yang hidup, yang memberi kita nyawa, bahawa beta tidak akan menjatuhkan hukuman mati kepadamu atau menyerahkan engkau kepada orang yang hendak membunuh engkau.”
17 Lalu aku memberitahu Raja Zedekia bahawa TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, berfirman demikian, “Jika engkau menyerah kepada pegawai-pegawai raja Babilonia, nyawamu akan selamat, dan kota ini tidak akan dibakar. Engkau dan keluargamu akan selamat.
18 Tetapi jika engkau tidak menyerah, kota ini akan diserahkan kepada orang Babilonia. Mereka akan membakarnya, dan engkau tidak akan lepas daripada mereka.”