15 Aku menjawab, “Jika hamba berterus terang, tuanku akan menjatuhkan hukuman mati kepada hamba; dan jika hamba memberikan nasihat, tuanku tidak akan mempedulikannya.”
16 Oleh itu Raja Zedekia dengan diam-diam berjanji kepadaku, “Beta bersumpah demi TUHAN yang hidup, yang memberi kita nyawa, bahawa beta tidak akan menjatuhkan hukuman mati kepadamu atau menyerahkan engkau kepada orang yang hendak membunuh engkau.”
17 Lalu aku memberitahu Raja Zedekia bahawa TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, berfirman demikian, “Jika engkau menyerah kepada pegawai-pegawai raja Babilonia, nyawamu akan selamat, dan kota ini tidak akan dibakar. Engkau dan keluargamu akan selamat.
18 Tetapi jika engkau tidak menyerah, kota ini akan diserahkan kepada orang Babilonia. Mereka akan membakarnya, dan engkau tidak akan lepas daripada mereka.”
19 Tetapi raja menjawab, “Beta takut kepada rakyat beta yang telah memihak kepada orang Babilonia. Mungkin beta akan diserahkan kepada mereka lalu diseksa.”
20 Aku berkata kepada raja, “Tuanku tidak akan diserahkan kepada musuh. Hamba mohon, taatlah kepada firman TUHAN supaya semuanya akan selamat dan nyawa tuanku pun akan terpelihara.
21 Tetapi TUHAN telah memperlihatkan kepada hamba apa yang akan berlaku terhadap tuanku jika tuanku tidak mahu menyerah.