17 Lalu aku memberitahu Raja Zedekia bahawa TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, berfirman demikian, “Jika engkau menyerah kepada pegawai-pegawai raja Babilonia, nyawamu akan selamat, dan kota ini tidak akan dibakar. Engkau dan keluargamu akan selamat.
18 Tetapi jika engkau tidak menyerah, kota ini akan diserahkan kepada orang Babilonia. Mereka akan membakarnya, dan engkau tidak akan lepas daripada mereka.”
19 Tetapi raja menjawab, “Beta takut kepada rakyat beta yang telah memihak kepada orang Babilonia. Mungkin beta akan diserahkan kepada mereka lalu diseksa.”
20 Aku berkata kepada raja, “Tuanku tidak akan diserahkan kepada musuh. Hamba mohon, taatlah kepada firman TUHAN supaya semuanya akan selamat dan nyawa tuanku pun akan terpelihara.
21 Tetapi TUHAN telah memperlihatkan kepada hamba apa yang akan berlaku terhadap tuanku jika tuanku tidak mahu menyerah.
22 Dalam penglihatan itu hamba nampak semua kaum wanita yang masih tinggal di istana Yehuda dibawa menghadap pegawai-pegawai raja Babilonia. Sambil berjalan kaum wanita itu berkata,‘Raja telah diperdaya oleh sahabat-sahabat karibnya,mereka telah menguasai baginda.Kini apabila kaki raja sudah masuk ke dalam lumpur,sahabat-sahabatnya meninggalkan baginda.’ ”
23 Aku berkata lagi, “Semua isteri serta anak tuanku akan dibawa kepada orang Babilonia, dan tuanku sendiri pun tidak akan lepas daripada mereka. Tuanku akan ditawan oleh raja Babilonia, dan kota ini akan dibakar sampai musnah.”