3 Ismael juga membunuh semua orang Israel yang bersama dengan Gedalya di Mizpa, dan askar-askar Babilonia yang kebetulan berada di situ.
4 Esok harinya, sebelum sesiapa pun mengetahui pembunuhan Gedalya itu,
5 lapan puluh orang tiba dari Sikhem, Silo, dan Samaria. Mereka telah mencukur janggut, mengoyakkan pakaian dan meluka-lukakan badan. Mereka sedang membawa gandum dan kemenyan untuk dipersembahkan di Rumah TUHAN.
6 Oleh itu Ismael keluar dari Mizpa dan pergi menemui mereka. Dia menangis sambil berkata kepada mereka, “Mari lihat Gedalya.”
7 Sebaik sahaja mereka berada di dalam kota itu, Ismael dan semua orangnya membunuh mereka, dan membuang mayat mereka ke dalam sebuah perigi.
8 Tetapi ada sepuluh orang antara mereka yang berkata kepada Ismael, “Tolonglah, jangan bunuh kami! Kami mempunyai gandum, barli, minyak zaitun, dan madu yang tersembunyi di ladang.” Oleh itu Ismael melepaskan mereka.
9 Perigi tempat Ismael membuang mayat-mayat orang yang telah dibunuhnya itu perigi besar; perigi itulah yang telah digali oleh Raja Asa ketika baginda diserang oleh Raja Baesa dari Israel. Ismael memenuhi perigi itu dengan mayat.