Yeremia 44:23-30 BM

23 Bencana yang menimpa kamu pada masa ini datang kerana kamu mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan lain, dan kerana kamu berdosa terhadap TUHAN dengan tidak mentaati perintah-Nya.”

24-25 Aku memberitahu mereka semua, terutama kaum wanita, firman TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, kepada orang Yehuda yang tinggal di Mesir, “Kamu dan isteri-isteri kamu telah bersumpah kepada Ratu Syurga, bahawa kamu akan mempersembahkan korban dan wain kepadanya, dan kamu sudah pun menepati janji kamu. Baiklah, tepatilah janji kamu itu! Tunaikanlah nazar kamu itu!

26 Tetapi sekarang dengarlah apa yang Aku firmankan kepada kamu, hai semua orang Israel yang tinggal di Mesir: Aku, TUHAN bersumpah demi nama-Ku yang agung bahawa Aku tidak sekali-kali akan membenarkan kamu menggunakan nama-Ku apabila kamu bersumpah. Kamu tidak boleh berkata, ‘Aku bersumpah demi TUHAN Raja yang hidup!’

27 Aku akan memastikan agar kamu tidak berjaya; kamu pasti dibinasakan. Kamu semua akan mati, sama ada dalam peperangan atau kerana wabak, sehingga tiada seorang pun antara kamu terselamat.

28 Tetapi sebilangan kecil antara kamu yang tinggal di Mesir akan terselamat dan pulang ke Yehuda. Barulah mereka akan tahu perkataan siapa yang berlaku, firman-Ku atau perkataan mereka.

29 Aku, TUHAN, akan membuktikan bahawa Aku akan menghukum kamu di negeri ini, dan bahawa janji-Ku untuk membinasakan kamu itu akan ditepati.

30 Aku akan menyerahkan Raja Hofra dari Mesir kepada musuhnya yang hendak membunuh baginda, sebagaimana Aku telah menyerahkan Raja Zedekia dari Yehuda kepada Raja Nebukadnezar dari Babilonia, musuh yang hendak membunuh Raja Zedekia.”