35 Aku akan menghentikan penduduk Moab daripada membakar korban di tempat-tempat pemujaan mereka, dan menghentikan mereka mempersembahkan korban kepada dewa-dewa mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.
36 Semua harta milik penduduk Kir-Heres dan Moab sudah lenyap. Aku sedih melihat keadaan mereka; Aku seperti orang yang memainkan lagu perkabungan dengan sebatang suling.
37 Mereka semua sudah mencukur rambut dan janggut, melukai tangan, dan memakai kain guni sebagai tanda bersedih.
38 Di atas semua bumbung rumah dan di semua padang di Moab tiada terdengar apa-apa pun kecuali ratapan, kerana Aku telah menghancurkan Moab seperti tempayan yang tidak disukai orang.
39 Moab telah dihancurkan! Menangislah! Moab telah dipermalukan! Moab telah runtuh. Semua negara jiran mentertawakan Moab. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
40 TUHAN telah berjanji bahawa suatu bangsa akan menyambar Moab seperti seekor helang yang menyambar dengan sayap terkembang.
41 Kota-kota dan kubu-kubunya akan direbut. Pada hari itu askar-askar Moab akan ketakutan seperti perempuan yang sedang bersalin.