39 Moab telah dihancurkan! Menangislah! Moab telah dipermalukan! Moab telah runtuh. Semua negara jiran mentertawakan Moab. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
40 TUHAN telah berjanji bahawa suatu bangsa akan menyambar Moab seperti seekor helang yang menyambar dengan sayap terkembang.
41 Kota-kota dan kubu-kubunya akan direbut. Pada hari itu askar-askar Moab akan ketakutan seperti perempuan yang sedang bersalin.
42 Moab akan musnah dan tidak lagi merupakan satu bangsa, kerana Moab telah menyombongkan diri terhadap Aku.
43 Kegentaran, lubang, dan perangkap sedang menunggu penduduk Moab. TUHAN telah berfirman.
44 Orang yang cuba melepaskan diri daripada kegentaran itu akan jatuh ke dalam lubang, dan orang yang cuba keluar dari lubang itu akan masuk ke dalam perangkap, kerana TUHAN telah menentukan waktu kehancuran bagi Moab.
45 Orang pelarian yang tidak berdaya cuba berlindung di Hesybon, kota yang pernah diperintah oleh Raja Sihon, tetapi sekarang kota itu sedang terbakar. Api telah menghanguskan kawasan di sempadan dan di kawasan pergunungan Moab, negeri orang yang suka berperang.