11 Penduduk Israel dan Yehuda telah betul-betul mengkhianati Aku.Aku, TUHAN telah berfirman.”
12 Umat TUHAN mengatakan perkara yang tidak benar tentang TUHAN. Mereka berkata, “Dia tidak akan berbuat apa-apa. Kita tidak akan ditimpa bencana; kita tidak akan mengalami peperangan atau kebuluran.”
13-14 Mereka berkata bahawa nabi-nabi itu bercakap angin sahaja kerana mereka tidak mempunyai perkhabaran daripada TUHAN. TUHAN Allah Yang Maha Kuasa berfirman kepadaku, “Hai Yeremia, oleh sebab semua orang ini berkata begitu, Aku akan menjadikan firman-Ku seperti api di dalam mulutmu. Bangsa ini akan menjadi seperti kayu, dan api itu akan membakar mereka.”
15 Hai umat Israel, TUHAN sedang mendatangkan suatu bangsa dari negeri jauh untuk menyerang kamu. Bangsa itu sangat kuat dan sudah ada sejak dahulu kala. Kamu tidak memahami bahasa mereka.
16 Para pemanah mereka askar yang gagah berani; mereka membunuh tanpa belas kasihan.
17 Mereka akan menghabiskan hasil tanah dan makanan kamu; mereka akan membunuh anak-anak kamu, baik lelaki mahupun perempuan. Mereka akan menyembelih ternakan lembu dan domba kamu; mereka akan memusnahkan pokok anggur dan pokok ara kamu. Kota-kota berkubu yang kamu harapkan akan dihancurkan oleh tentera mereka.
18 TUHAN berfirman, “Tetapi pada masa itu pun Aku tidak akan memusnahkan umat-Ku sama sekali.