19 Aku akan mengembalikan umat Israel ke tanah air mereka. Mereka akan makan daripada hasil tanaman yang tumbuh di Gunung Karmel dan di daerah Basan. Mereka akan makan sebanyak yang diingini mereka daripada hasil tanaman yang tumbuh di wilayah Efraim dan Gilead.
20 Pada masa itu, dosa tidak akan terdapat lagi di Israel, dan kejahatan pun tidak akan ada lagi di Yehuda, kerana Aku akan mengampuni orang yang telah Aku selamatkan. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
21 TUHAN berfirman kepada musuh Babilonia, “Seranglah penduduk Merataim dan Pekod. Bunuhlah dan binasakanlah mereka. Laksanakanlah segala perintah-Ku. Aku, TUHAN, telah berfirman.
22 Bunyi pertempuran kedengaran di negeri itu, dan kehancuran besar terjadi.
23 Dahulu Babilonia menukul seluruh dunia sehingga hancur, tetapi sekarang penukulnya sudah remuk-redam. Semua bangsa terkejut melihat apa yang telah berlaku terhadap negeri itu.
24 Hai Babilonia, engkau melawan Aku dan engkau telah masuk ke dalam perangkap yang Aku pasang untukmu, walaupun engkau tidak menyedarinya.
25 Aku telah membuka tempat penyimpanan senjata-Ku. Dalam kemurkaan-Ku, Aku telah mengeluarkan senjata-Ku, kerana Aku, TUHAN Raja Yang Maha Kuasa, harus menjalankan tugas di Babilonia.