26 Tiada satu batu pun daripada runtuhanmu akan digunakan semula sebagai bahan binaan. Engkau akan menjadi seperti gurun selama-lamanya. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
27 “Berikanlah tanda untuk berperang! Tiuplah trompet supaya didengar oleh bangsa-bangsa! Siapkanlah bangsa-bangsa untuk berperang dengan Babilonia! Suruhlah kerajaan Ararat, Mini, dan Askenas berperang. Lantiklah seorang pegawai tentera untuk memimpin serangan itu. Kerahkanlah kuda yang sebanyak kawanan belalang!
28 Siapkanlah bangsa-bangsa untuk berperang dengan Babilonia. Panggillah raja-raja Media, para pemimpin dan pegawai tentera mereka, dan juga tentera semua negeri di bawah jajahan mereka.
29 Bumi bergoncang dan bergoyang kerana TUHAN sedang melaksanakan rancangan-Nya untuk menjadikan Babilonia gurun, tempat yang tidak didiami manusia.
30 Askar-askar Babilonia tidak lagi berperang. Mereka telah hilang keberanian, dan sedang bersembunyi di dalam kubu-kubu; mereka takut seperti perempuan. Pintu gerbang kota telah dirobohkan dan rumah-rumah terbakar.
31 Para utusan susul-menyusul untuk memberitahu raja Babilonia bahawa kotanya telah ditembusi dari setiap penjuru.
32 Musuh telah merebut tempat penyeberangan sungai dan membakar kubu-kubu pertahanan. Askar-askar Babilonia cemas.