10 Di Ribla, putera-putera Raja Zedekia dibunuh di depan mata Raja Zedekia, dan pegawai-pegawai Yehuda dihukum mati.
11 Selepas itu mata Raja Zedekia dicungkil, lalu baginda dirantai dan dibawa ke kota Babel. Raja Zedekia dipenjarakan di sana sehingga baginda mangkat.
12 Pada hari kesepuluh, bulan kelima dalam tahun kesembilan belas pemerintahan Raja Nebukadnezar di Babilonia, Nebuzaradan, iaitu panglima tentera dan penasihat raja, masuk ke Yerusalem.
13 Dia membakar Rumah TUHAN, istana, dan rumah-rumah semua pembesar di Yerusalem;
14 askar-askarnya merobohkan tembok kota.
15 Kemudian Nebuzaradan membawa orang yang masih tinggal di kota itu ke Babilonia, iaitu tukang-tukang mahir yang masih tinggal, dan mereka yang berpihak kepada orang Babilonia.
16 Tetapi Nebuzaradan meninggalkan sebahagian daripada rakyat yang paling miskin di Yehuda, mereka yang tidak mempunyai harta. Dia menyuruh mereka bekerja di ladang anggur dan di ladang-ladang.