Yeremia 52:16-23 BM

16 Tetapi Nebuzaradan meninggalkan sebahagian daripada rakyat yang paling miskin di Yehuda, mereka yang tidak mempunyai harta. Dia menyuruh mereka bekerja di ladang anggur dan di ladang-ladang.

17 Orang Babilonia menghancurkan tiang-tiang gangsa dan pedati-pedati yang di dalam Rumah TUHAN, dan juga tangki gangsa yang besar. Mereka membawa semua gangsanya ke Babel.

18 Mereka juga membawa penyodok-penyodok dan bekas-bekas abu yang digunakan untuk membersihkan mazbah, alat-alat pelita, mangkuk-mangkuk untuk menampung darah daripada korban-korban yang dipersembahkan, mangkuk-mangkuk tempat membakar kemenyan, dan semua alat gangsa lain yang digunakan untuk upacara ibadat di Rumah TUHAN.

19 Mereka mengambil semua alat yang dibuat daripada emas dan perak, termasuk mangkuk-mangkuk kecil, perbaraan, mangkuk-mangkuk untuk menampung darah daripada korban-korban yang dipersembahkan, bekas-bekas abu, kaki-kaki pelita, mangkuk-mangkuk untuk kemenyan, dan mangkuk-mangkuk untuk persembahan wain.

20 Benda-benda gangsa yang dibuat oleh Raja Salomo untuk Rumah TUHAN, iaitu dua batang tiang, pedati-pedati, tangki yang besar dan dua belas lembu yang menunjangnya - semuanya terlalu berat untuk ditimbang.

21-22 Dua batang tiang itu sama bentuknya: setiap batang tingginya 8 meter, lingkarannya 5.3 meter dan tengah-tengahnya berongga. Gangsa tiang itu setebal 75 milimeter. Di atas setiap tiang itu ada kepala tiang setinggi 2.2 meter. Pada sekeliling kepala tiang ada anyaman gangsa, yang dihiasi buah delima daripada gangsa.

23 Pada anyaman gangsa di setiap tiang itu ada sejumlah 100 buah delima daripada gangsa; 96 daripadanya dapat dilihat dari bawah.