17 Kemudian TUHAN melantik penjaga-penjaga untuk mendengarkan bunyi isyarat trompet. Tetapi mereka berkata, “Kami tidak mahu mendengarkan.”
18 Oleh itu TUHAN berfirman, “Dengarlah hai bangsa-bangsa! Kamu harus tahu apa yang akan berlaku terhadap umat-Ku.
19 Dengarlah, hai bumi! Umat-Ku tidak mahu menerima ajaran-Ku dan tidak taat kepada-Ku. Oleh itu, Aku mendatangkan malapetaka kepada mereka sebagai hukuman terhadap segala rancangan mereka.
20 Apakah gunanya kemenyan dari Syeba yang dibawa mereka kepada-Ku, atau rempah-rempah dari negeri jauh? Aku tidak mahu menerima persembahan mereka. Aku tidak suka akan korban-korban mereka.
21 Oleh itu, Aku akan menyebabkan mereka tersandung dan jatuh. Bapa dan anak, kawan dan jiran akan mati.”
22 TUHAN berfirman, “Orang akan datang dari suatu negeri di utara; suatu bangsa yang kuat di negeri jauh sedang bersiap untuk berperang.
23 Mereka bersenjatakan panah dan pedang; mereka bengis dan tidak kenal ampun. Bunyi derap kuda mereka yang sedang dipacu bagaikan bunyi laut yang bergelora. Mereka sudah bersiap untuk menyerang Yerusalem.”