24 Penduduk Yerusalem berkata, “Kami telah mendengar berita itu dan kami patah semangat. Kami dicekam perasaan takut dan kesakitan seperti wanita yang bersalin.
25 Kami tidak berani berjalan di jalan raya atau pergi ke ladang, kerana di mana-mana musuh yang bersenjata menimbulkan ketakutan.”
26 TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Pakailah kain guni dan berguling-gulinglah dalam abu. Berkabunglah dan merataplah dengan pedih seperti orang meratapi kematian anak lelaki yang tunggal, kerana pembinasa akan menyerang kamu dengan tiba-tiba.”
27 Kemudian TUHAN berfirman kepada Yeremia, “Ujilah umat-Ku, seperti engkau menguji logam. Selidikilah kelakuan mereka!
28 Mereka semua pemberontak yang keras kepala, sekeras gangsa dan besi. Mereka berkelakuan buruk dan berjalan ke mana-mana untuk menyebarkan berita yang menjahatkan orang lain.
29 Peleburan sudah sangat panas, tetapi kotoran logam tidak juga menjadi cair dan hilang. Sia-sia sahaja umat-Ku terus-menerus diuji untuk dimurnikan, kerana mereka yang jahat tidak disingkirkan.
30 Mereka akan dinamakan tahi leburan yang tidak berguna, kerana Aku, TUHAN, telah membuang mereka.”