9 Kamu mencuri, membunuh, berzina, memberi kesaksian dusta, mempersembahkan korban kepada Baal, dan menyembah dewa-dewa yang tidak pernah kamu kenal.
10 Selepas kamu lakukan semua itu, kamu datang menghadap Aku di Rumah-Ku sendiri, lalu berkata, ‘Kami aman!’ Kemudian kamu meneruskan perbuatan kamu yang keji itu.
11 Adakah kamu menyangka bahawa Rumah-Ku ini tempat persembunyian perompak? Aku telah nampak semua perbuatan kamu itu.
12 Pergilah ke Silo, kota yang mula-mula Kupilih sebagai tempat orang beribadat kepada-Ku. Lihatlah apa yang telah Kulakukan terhadap tempat itu kerana dosa umat-Ku Israel.
13 Kamu melakukan semua dosa itu; sekalipun Aku berfirman kepada kamu berkali-kali, kamu tidak mahu mendengar. Kamu tidak mahu menyahut ketika Aku memanggil kamu.
14 Oleh itu, apa yang Kulakukan terhadap Silo akan Kulakukan terhadap Rumah-Ku ini, tempat yang kamu harapkan. Tempat yang Kuberikan kepada nenek moyang kamu dan kepada kamu ini akan Kuperlakukan seperti Silo.
15 Aku akan mengusir kamu dari hadirat-Ku seperti Aku mengusir sanak keluarga kamu, orang Israel. Aku, TUHAN, telah berfirman.”