1 Pada masa itu tulang-tulang para raja dan pegawai pemerintah di Yehuda, dan juga tulang-tulang para imam, nabi, serta penduduk Yerusalem yang lain akan dikeluarkan dari kubur.
2 Tujuannya bukan untuk dikumpulkan dan dikuburkan lagi, melainkan untuk dibiarkan di tanah sebagai baja. Tulang-tulang mereka akan bertaburan di bawah sinaran matahari, bulan, dan bintang-bintang yang dicintai, dilayani, disembah dan dimintai petunjuk oleh mereka.
3 Orang daripada bangsa jahat ini yang masih hidup, yang telah Kucerai-beraikan ke berbagai-bagai tempat, akan lebih suka mati daripada hidup. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa telah berfirman.”
4 TUHAN menyuruh aku menyampaikan kata-kata ini kepada umat-Nya, “Apabila orang jatuh, tentu mereka akan bangun lagi. Apabila orang sesat di jalan, tentu mereka akan kembali ke pangkal jalan.
5 Tetapi mengapa kamu, umat-Ku, terus-menerus meninggalkan Aku dan tidak kembali kepada-Ku? Kamu berpegang teguh kepada berhala kamu dan tidak mahu kembali kepada-Ku.
6 Aku telah mendengar baik-baik, tetapi kamu tidak bercakap jujur. Tiada seorang pun antara kamu menyesali perbuatannya yang jahat. Tiada seorang pun yang berkata, ‘Apakah kesalahanku?’ Kamu semua mengikuti jalan sendiri seperti kuda meluru ke medan pertempuran.