Yeremia 8:10-16 BM

10 Oleh itu, Aku akan memberikan ladang mereka kepada pemilik yang baru, dan isteri mereka kepada orang lain. Semua orang yang besar mahupun yang kecil, mencari keuntungan dengan cara tidak jujur. Bahkan nabi dan imam pun menipu orang.

11 Mereka menganggap luka-luka umat-Ku sebagai luka kecil sahaja. Mereka berkata, ‘Semuanya baik dan aman.’ Tetapi semuanya sama sekali tidak baik dan tidak aman.

12 Hai umat-Ku, adakah kamu malu kerana telah melakukan semua perbuatan yang keji itu? Tidak, kamu sama sekali tidak tahu malu; kamu sudah tebal muka! Oleh itu, kamu akan jatuh seperti orang lain; riwayat kamu akan tamat apabila Aku menghukum kamu. Aku, TUHAN telah berfirman.

13 Aku ingin sekali mengumpulkan umat-Ku seperti orang mengumpulkan hasil tanah mereka. Tetapi umat-Ku seperti pokok anggur dan pokok ara yang tidak berbuah, bahkan daun-daunnya pun sudah layu. Itulah sebabnya Aku telah membenarkan orang bangsa asing datang dan menguasai negeri mereka.”

14 Umat Allah berkata, “Mengapa kita tidak berbuat apa-apa? Marilah kita lari ke kota-kota berkubu; biarlah kita mati di sana. TUHAN, Allah kita telah mengambil keputusan untuk membiarkan kita binasa. Dia telah memberi kita racun untuk diminum kerana kita berdosa terhadap-Nya.

15 Sia-sia sahaja kita mengharapkan kedamaian dan masa penyembuhan, kerana yang datang hanya ketakutan.

16 Musuh sudah berada di kota Dan; dengus kuda mereka sudah kedengaran. Seluruh negeri ketakutan apabila kuda mereka meringkik. Musuh sudah datang untuk menghancurkan seluruh negeri kita, dan juga kota kita serta semua penduduknya.”