Yehezkiel 1 BM

YEHEZKIEL MENDAPAT PENGLIHATAN PERTAMA TENTANG ALLAH

Takhta Allah

1 Pada hari kelima bulan keempat dalam tahun ketiga puluh, aku, Imam Yehezkiel anak Busi, berada di tepi Sungai Kebar di Babilonia bersama-sama orang buangan Yahudi. Ketika itu langit terbuka dan aku mendapat suatu penglihatan tentang Allah. (

2 Hal itu berlaku lima tahun selepas Raja Yoyakhin dibuang negeri.)

3 Di negeri Babilonia, di tepi Sungai Kebar, aku mendengar TUHAN berfirman kepadaku, dan aku merasa kuasa-Nya.

4 Aku menengadah dan melihat angin ribut datang dari utara. Kilat sambar-menyambar dari awan yang amat besar, dan langit di sekelilingnya terang-benderang. Ketika kilat itu sambar-menyambar, terlihat sesuatu yang bersinar-sinar seperti gangsa.

5 Di tengah-tengah angin ribut itu aku nampak juga empat kerub, iaitu makhluk yang menyerupai manusia,

6 tetapi setiap makhluk mempunyai empat muka dan empat sayap.

7 Kaki makhluk itu lurus, berkuku seperti kuku anak lembu dan bersinar-sinar seperti gangsa yang digilap.

8 Selain empat muka dan empat sayap itu, setiap makhluk mempunyai empat tangan yang seperti tangan manusia, satu tangan di bawah setiap sayap.

9 Dua sayap daripada setiap makhluk itu terkembang dan hujungnya bersentuhan dengan sayap makhluk yang lain sehingga keempat-empat makhluk itu membentuk segi empat. Apabila bergerak, makhluk-makhluk itu bergerak lurus ke hadapan tanpa memusingkan badan.

10 Setiap makhluk itu mempunyai empat muka yang berlainan: muka manusia di bahagian hadapan, muka singa di sebelah kanan, muka lembu di sebelah kiri, dan muka helang di bahagian belakang.

11 Dua sayap daripada setiap makhluk itu terbentang tinggi sehingga menyentuh hujung sayap makhluk yang di sebelahnya. Dua sayap lain terlipat menutupi badan setiap makhluk.

12 Setiap makhluk menghadap empat arah agar dapat menuju ke arah mana sahaja menurut kehendak makhluk-makhluk tanpa memusingkan badan.

13 Antara makhluk itu terdapat sesuatu yang berupa suluh yang bernyala. Suluh itu sentiasa bergerak. Apinya menyala dan memancarkan kilat.

14 Makhluk-makhluk itu terbang berulang-alik secepat kilat.

15 Sedang aku melihat empat makhluk itu, aku nampak pula empat buah roda di atas tanah, sebuah roda di samping setiap makhluk.

16 Keempat-empat roda itu sama rupanya dan berkilauan seperti batu permata, dan setiap roda mempunyai sebuah roda lain yang melintang di tengah-tengahnya.

17 Dengan demikian keempat-empat roda itu dapat bergerak ke empat arah.

18 Bingkai roda penuh dengan mata.

19 Apabila makhluk-makhluk itu bergerak, roda pun ikut bergerak. Jika makhluk-makhluk itu naik ke udara, roda pun ikut sama.

20 Makhluk-makhluk itu pergi ke mana sahaja menurut kehendak makhluk-makhluk, dan roda selalu ikut kerana dikuasai oleh makhluk-makhluk itu.

21 Oleh itu setiap kali makhluk-makhluk itu bergerak atau berhenti atau naik ke udara, roda pun ikut sama.

22 Di atas kepala makhluk-makhluk itu, ada sesuatu yang rupanya seperti kubah yang dibuat daripada kristal yang berkilau-kilauan.

23 Di bawah kubah itu makhluk-makhluk itu berdiri, sambil merentangkan dua sayap ke arah makhluk yang di sebelahnya, sedangkan dua sayap lagi menutupi badan.

24 Apabila makhluk-makhluk itu terbang, aku mendengar bunyi kepakan sayap. Bunyi itu seperti deru air terjun, seperti derap langkah pasukan tentera yang besar, dan seperti suara Allah Yang Maha Kuasa. Makhluk-makhluk itu melipat sayap apabila berhenti terbang,

25 tetapi bunyi masih kedengaran dari kubah yang di atas kepala makhluk-makhluk itu.

26 Di atas kubah itu pula ada sesuatu yang kelihatan seperti takhta yang dibuat daripada batu nilam. Sesuatu yang seperti manusia duduk di atas takhta itu.

27 Dari pinggangnya ke atas kelihatan bersinar-sinar seperti gangsa di tengah nyala api, dan dari pinggangnya ke bawah kelihatan seperti api. Sinaran itu terang-benderang

28 dengan warna-warna pelangi. Cahaya berkilauan itu menunjukkan hadirat TUHAN.