Yehezkiel 11 BM

Yerusalem Dihukum

1 Roh Allah mengangkat aku dan membawa aku ke pintu gerbang timur Rumah TUHAN. Di situ aku nampak dua puluh lima orang lelaki termasuk Yaazanya anak Azur dan Pelaca anak Benaya, dua orang pemimpin bangsa.

2 Allah berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, inilah orang yang merancang kejahatan dan memberikan nasihat yang menyesatkan, di kota ini.

3 Mereka berkata, ‘Tidak lama lagi kita akan membina rumah semula. Memang kota ini seperti periuk dan kita seperti daging di dalamnya, tetapi setidak-tidaknya kita dilindungi daripada api.’

4 Oleh itu, hai manusia fana, sampaikanlah perkhabaran-Ku tentang hukuman bagi mereka!”

5 Roh TUHAN menguasai aku lalu menyuruh aku menyampaikan perkhabaran ini kepada umat, “Hai umat Israel, Aku tahu apa yang kamu katakan dan hal yang kamu rancang.

6 Kamu telah membunuh begitu banyak orang di kota ini sehingga jalan-jalan penuh dengan mayat.

7 Oleh itu, Aku, TUHAN Raja berfirman kepada kamu. Memang kota ini adalah periuk, tetapi daging di dalamnya bukan kamu, melainkan mayat orang yang telah kamu bunuh! Sedangkan kamu akan Kubuang dari kota ini!

8 Kamu takut akan pedang; Aku akan mendatangkan orang yang membawa pedang untuk menyerang kamu.

9 Aku akan membuang kamu dari kota ini dan menyerahkan kamu kepada bangsa asing. Aku telah menjatuhkan hukuman mati kepada kamu;

10 kamu akan mati terbunuh dalam peperangan di negeri kamu sendiri. Barulah setiap orang akan tahu bahawa Akulah TUHAN.

11 Kota ini tidak akan melindungi kamu, seperti periuk melindungi daging di dalamnya. Aku akan menghukum kamu di mana sahaja kamu berada di negeri Israel.

12 Kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN, dan dengan mentaati hukum negeri-negeri jiran, kamu melanggar hukum-Ku dan mengabaikan perintah-Ku.”

13 Sedang aku bernubuat, tiba-tiba Pelaca jatuh lalu mati. Aku bersujud sambil berseru, “Jangan, TUHAN Raja! Adakah Engkau hendak memunahkan orang yang masih tinggal di Israel?”

Janji Allah kepada Orang Buangan

14 TUHAN berfirman kepadaku,

15 “Hai manusia fana, penduduk Yerusalem sedang bercakap tentang engkau dan sesama bangsamu, umat Israel yang dalam buangan. Mereka berkata, ‘Orang buangan terlalu jauh untuk beribadat kepada TUHAN. TUHAN telah memberi kita tanah ini sebagai milik kita.’

16 Beritahulah sesama bangsamu dalam buangan bahawa Akulah yang menghantar mereka jauh ke antara bangsa-bangsa, serta mencerai-beraikan mereka di negeri-negeri lain. Namun untuk sementara waktu, Aku akan menyertai mereka di tempat itu.

17 Oleh itu beritahulah mereka apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan. Aku akan mengumpulkan mereka dari negeri-negeri tempat Aku mencerai-beraikan mereka, lalu Aku akan mengembalikan negeri Israel kepada mereka.

18 Apabila mereka pulang, mereka mesti membuang segala berhala yang keji dan menjijikkan itu.

19 Aku akan memberi mereka hati dan fikiran yang baru. Aku akan menggantikan hati mereka yang keras seperti batu, dengan hati yang taat.

20 Barulah mereka akan mentaati hukum-Ku dan mematuhi semua perintah-Ku dengan setia. Mereka akan menjadi umat-Ku, dan Aku menjadi Allah mereka.

21 Tetapi Aku akan menghukum orang yang suka menyembah berhala yang keji serta menjijikkan. Aku akan menghukum mereka kerana perbuatan mereka itu.” Demikianlah firman TUHAN Raja.

Allah Meninggalkan Yerusalem

22 Kerub-kerub itu mulai terbang, dan roda-roda pun ikut sama. Cahaya berkilauan yang menandakan hadirat Allah Israel berada di atas kerub-kerub itu.

23 Kemudian cahaya yang berkilauan itu meninggalkan kota dan pindah ke gunung di sebelah timur kota.

24 Dalam penglihatan itu, Roh Allah mengangkat aku dan membawa aku kembali ke tempat orang buangan di Babilonia. Kemudian penglihatan itu lenyap,

25 dan aku pun memberitahu orang buangan tentang segala yang telah ditunjukkan TUHAN kepadaku.