Yehezkiel 30 BM

TUHAN Akan Menghukum Mesir

1 TUHAN berfirman lagi kepadaku,

2 “Hai manusia fana, bernubuatlah dan isytiharkanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan. Berserulah dan merataplah begini:Hari TUHAN sudah dekat!

3 Hari itu sudah hampir, apabila TUHAN akan bertindak.Hari itu gelap dan susah bagi bangsa-bangsa.

4 Peperangan akan berlaku di Mesir,dan kesengsaraan menimpa Etiopia.Banyak orang di Mesir akan terbunuh;negeri itu akan dijarah,dan dibiarkan menjadi runtuhan.

5 Askar-askar yang diupah dari Etiopia, Lidia, Libia, Arab, Kub, dan bahkan daripada umat-Ku sendiri, akan terbunuh dalam peperangan itu.”

6 TUHAN berfirman, “Dari Migdol di sebelah utara sampai ke Aswan di sebelah selatan, semua pembela Mesir akan gugur dalam peperangan. Tentera Mesir yang sombong itu akan musnah. Aku, TUHAN Raja telah berfirman.

7 Negeri itu akan menjadi negeri yang paling tandus dan lengang di dunia. Kota-kotanya akan menjadi runtuhan sama sekali.

8 Selepas Aku membakar Mesir dan membunuh semua pembelanya, barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.

9 Pada hari itu, apabila Mesir telah musnah, Aku akan mengirim para utusan dengan kapal-kapal untuk mengejutkan orang Etiopia yang tidak curiga itu sehingga mereka ketakutan. Hari itu sudah dekat!”

10 TUHAN Raja berfirman, “Aku akan menggunakan Raja Nebukadnezar dari Babilonia untuk menghancurkan kekayaan Mesir.

11 Dia dan tenteranya yang ganas akan memusnahkan negeri itu. Mereka akan menyerang Mesir dengan pedang, sehingga negeri itu penuh dengan mayat.

12 Aku akan mengeringkan Sungai Nil dan menyerahkan Mesir ke dalam kekuasaan orang jahat. Orang asing akan memusnahkan seluruh negeri itu. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

13 TUHAN Raja berfirman, “Aku akan memusnahkan berhala-berhala dan dewa-dewa di Memphis. Tiada lagi raja yang akan memerintah di Mesir dan Aku akan menggentarkan semua orang.

14 Aku akan menjadikan bahagian selatan Mesir tandus dan lengang, dan Aku akan membakar kota Soan di sebelah utara. Aku akan menghukum Tebe, ibu kota itu,

15 dan memusnahkan kekayaannya. Aku akan melampiaskan kemurkaan-Ku kepada Pelusium, kota pertahanan Mesir.

16 Aku akan membakar Mesir, dan Pelusium pun akan sengsara. Tembok kota Tebe akan dirobohkan dan kota itu akan dilanda banjir.

17 Pemuda-pemuda kota Heliopolis dan Bubastis akan mati dalam peperangan, dan penduduk yang lain akan ditawan.

18 Kota Tahpanhes akan menjadi gelap pada hari Aku menaklukkan Mesir dan memusnahkan kuasanya yang sangat dibanggakannya. Mesir akan diliputi awan, dan penduduk semua kotanya akan ditawan.

19 Apabila Aku menghukum Mesir dengan cara demikian, barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.”

Kuasa Raja Mesir Dipatahkan

20 Pada hari ketujuh, bulan pertama, tahun kesebelas masa kami dalam buangan, TUHAN berfirman kepadaku,

21 “Hai manusia fana, Aku telah mematahkan lengan raja Mesir. Tiada sesiapa pun yang membalut lengannya agar pulih dan kuat semula untuk memegang pedang.

22 Oleh itu Aku, TUHAN Raja berfirman: Aku musuh raja Mesir. Aku akan mematahkan kedua-dua belah lengannya, baik yang masih kuat mahupun yang telah patah itu. Lalu pedang akan jatuh dari tangannya.

23 Aku akan mencerai-beraikan orang Mesir ke seluruh dunia.

24 Kemudian Aku akan menguatkan lengan raja Babilonia dan meletakkan pedang-Ku di tangannya. Tetapi Aku akan mematahkan lengan raja Mesir sehingga dia akan mengerang dan mati di hadapan raja Babilonia.

25 Aku akan melemahkan raja Mesir, tetapi Aku akan menguatkan raja Babilonia. Apabila Aku meletakkan pedang-Ku di tangan raja Babilonia, dan dia mengacungkan pedang itu ke arah Mesir, semua orang akan tahu bahawa Akulah TUHAN.

26 Aku akan mencerai-beraikan orang Mesir ke seluruh dunia. Maka mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN.”