Yehezkiel 13 BM

Nubuat terhadap Nabi Palsu Lelaki

1 TUHAN berfirman kepadaku,

2 “Hai manusia fana, kecamlah nabi-nabi Israel yang mengucapkan nubuat yang direka-reka oleh mereka sendiri. Suruhlah mereka mendengarkan firman TUHAN.”

3 Demikianlah firman TUHAN Raja, “Alangkah malangnya nabi-nabi bodoh itu! Mereka mendapat ilham daripada khayalan mereka sendiri dan penglihatan mereka palsu belaka.

4 Hai umat Israel, nabi-nabi kamu tidak berguna; mereka seperti serigala yang tinggal di tengah runtuhan kota.

5 Mereka tidak mengawal tempat-tempat yang roboh temboknya, ataupun membina tembok-tembok itu semula, sehingga Israel tidak dapat dipertahankan apabila peperangan berlaku pada hari Aku, TUHAN datang menjatuhkan hukuman.

6 Penglihatan mereka itu palsu dan ramalan mereka pun dusta belaka. Mereka mengaku menyampaikan firman-Ku, padahal Aku tidak mengutus mereka. Namun mereka berharap supaya ramalan mereka akan berlaku.

7 Aku berfirman kepada mereka: Penglihatan kamu itu palsu, dan ramalan kamu itu dusta belaka. Kamu berkata bahawa semua itu firman-Ku, padahal Aku tidak berfirman kepada kamu!”

8 Oleh itu TUHAN Raja berfirman kepada mereka, “Kerana kata-kata kamu itu dusta dan penglihatan kamu itu palsu, Aku akan melawan kamu.

9 Aku akan menghukum kamu, nabi-nabi yang melihat penglihatan palsu serta menyampaikan ramalan yang menyesatkan. Kamu tidak akan bersama-sama umat-Ku apabila mereka bersidang; nama kamu tidak akan tercatat dalam daftar warga Israel, dan kamu tidak akan pulang ke tanah air kamu. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN Raja.

10 Para nabi itu menyesatkan umat-Ku dengan mengatakan bahawa semuanya selamat, pada hal semuanya tidak selamat! Umat-Ku membina tembok yang tidak kukuh, lalu nabi-nabi itu datang dan mengapurnya.

11 Beritahulah nabi-nabi itu bahawa tembok mereka akan roboh. Aku akan menurunkan hujan lebat. Tembok itu akan dilanda angin ribut dan ditimpa hujan batu.

12 Lalu tembok itu akan roboh, dan orang akan bertanya kepada kamu apa gunanya tembok itu dikapur.”

13 Demikianlah firman TUHAN Raja, “Semasa Aku sangat murka, Aku mendatangkan angin kencang, hujan lebat, dan hujan batu untuk memusnahkan tembok itu.

14 Aku bermaksud untuk merobohkan tembok yang dikapur mereka. Aku akan menghancurkannya sehingga batu asasnya kelihatan. Tembok itu akan roboh dan membunuh kamu semua. Barulah setiap orang tahu bahawa Akulah TUHAN.

15 Tembok itu dan mereka yang mengapurnya akan merasakan kedahsyatan kemurkaan-Ku. Kemudian Aku akan memberitahu kamu bahawa tembok itu dan orang yang mengapurnya telah binasa,

16 iaitu nabi-nabi yang bernubuat bahawa Yerusalem akan selamat, padahal tidak!” Demikianlah firman TUHAN Raja.

Nubuat tentang Nabi Palsu Perempuan

17 TUHAN berfirman, “Hai manusia fana, lihatlah wanita-wanita yang berlagak sebagai nabi di kalangan bangsamu. Kecamlah mereka,

18 dan sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka,‘Alangkah malangnya kamu! Kamu membuat gelang azimat dan kain tudung sakti, supaya kamu dapat menguasai hidup orang lain. Kamu ingin menguasai hidup mati umat-Ku bagi keuntungan kamu sendiri.

19 Kamu menghina Aku di hadapan umat-Ku untuk mendapat hanya beberapa genggam barli dan beberapa ketul roti. Orang yang tidak patut mati, kamu bunuh sedangkan orang yang tidak patut hidup, kamu biarkan hidup. Lalu kamu berdusta kepada umat-Ku dan mereka percaya kepada kamu.’ ”

20 Oleh itu TUHAN Raja berfirman, “Aku membenci gelang azimat yang kamu gunakan untuk menguasai hidup mati orang lain. Aku akan merenggut gelang itu daripada lengan kamu dan membebaskan orang yang kamu kuasai.

21 Aku akan mengoyakkan kain tudung kamu dan membebaskan umat-Ku daripada kuasa kamu selama-lamanya. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN.

22 Dengan dusta kamu itu kamu menawarkan hati orang baik, yang Aku tidak mahu apa-apakan. Kamu menggalakkan orang jahat supaya terus melakukan kejahatan sehingga mereka tidak dapat diselamatkan.

23 Sekarang penglihatan palsu dan ramalan kamu yang menyesatkan itu telah berakhir. Aku sedang menyelamatkan umat-Ku daripada kuasa kamu supaya kamu tahu bahawa Akulah TUHAN.”