1 TUHAN berfirman kepadaku,
2 “Hai manusia fana, engkau tinggal di tengah-tengah kaum pemberontak. Mereka mempunyai mata, tetapi tidak melihat; mereka mempunyai telinga, tetapi tidak mendengar, kerana mereka suka memberontak.
3 Oleh itu, hai manusia fana, kemaskan barang-barangmu dalam satu bungkusan seperti yang dilakukan oleh seorang pelarian, dan berangkatlah sebelum gelap. Biarlah orang nampak engkau meninggalkan kota dan pergi ke tempat lain. Barangkali pemberontak-pemberontak itu akan melihat engkau.
4 Ketika hari masih terang, kemaskan barang dalam satu bungkusan untuk dibawa ke pembuangan, dan biarlah mereka nampak engkau berbuat demikian. Biarlah mereka melihat engkau meninggalkan kota pada waktu petang, seolah-olah engkau sedang menuju ke tempat pembuangan.
5 Sedang mereka memperhatikan engkau, pecahkan tembok rumahmu supaya berlubang, dan bawalah bungkusanmu keluar melalui lubang itu.
6 Biarlah mereka melihat engkau memikul bungkusanmu itu dan keluar ke tempat yang gelap dengan muka tertutup supaya engkau tidak dapat melihat jalan yang dilalui. Perbuatanmu itu akan menjadi amaran bagi umat Israel.”
7 Aku melakukan apa yang disuruh TUHAN. Pada hari itu aku mengemaskan barangku dalam satu bungkusan seperti yang dilakukan oleh seorang pelarian. Pada petang itu, waktu hampir gelap, dengan tangan aku memecahkan tembok rumahku sehingga berlubang, lalu aku keluar melalui lubang itu. Sedang orang memandang, aku memikul bungkusanku lalu meninggalkan tempat itu.
8 Keesokan paginya TUHAN berfirman kepadaku,
9 “Hai manusia fana, oleh sebab umat Israel, umat pemberontak itu bertanya kepadamu tentang hal yang sedang engkau lakukan,
10 beritahulah mereka apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka. Perkhabaran ini untuk raja yang memerintah di Yerusalem dan untuk semua orang yang tinggal di situ.
11 Beritahulah mereka bahawa perbuatanmu itu melambangkan hal yang akan berlaku kepada mereka. Mereka akan menjadi orang pelarian dan orang tawanan.
12 Raja mereka akan memikul bungkusannya pada waktu malam dan melarikan diri melalui lubang yang dibuat oleh mereka di tembok. Raja akan menutup mukanya sehingga tidak nampak ke mana dia pergi.
13 Tetapi Aku akan memasang jaring untuk menangkap raja. Lalu Aku akan membawa dia ke kota Babel, dan dia akan mati tanpa melihat kota itu.
14 Aku akan mencerai-beraikan semua orang di istananya, para penasihat, dan pengawal peribadinya. Aku akan memburu dan membunuh mereka.
15 Apabila Aku mencerai-beraikan mereka antara bangsa-bangsa lain di negeri-negeri asing, barulah mereka sedar bahawa Akulah TUHAN.
16 Aku akan membiarkan sebilangan kecil daripada mereka terselamat daripada peperangan, kelaparan, dan wabak supaya di kalangan bangsa-bangsa asing itu, mereka akan sedar betapa kejinya perbuatan mereka, lalu mengakui bahawa Akulah TUHAN.”
17 TUHAN berfirman kepadaku,
18 “Hai manusia fana, gementarlah apabila engkau makan, dan menggigillah dengan takut apabila engkau minum.
19 Beritahulah seluruh bangsa bahawa inilah firman TUHAN Raja kepada penduduk Yerusalem yang masih tinggal di negeri mereka: Mereka akan gementar apabila mereka makan, dan menggigil dengan takut apabila mereka minum. Negeri mereka akan musnah dan menjadi tandus kerana semua orang yang tinggal di situ melanggar hukum.
20 Kota-kota yang sekarang penuh dengan orang akan musnah, dan negeri itu akan menjadi padang gurun. Pada waktu itu barulah mereka sedar bahawa Akulah TUHAN.”
21 TUHAN berfirman kepadaku,
22 “Hai manusia fana, mengapakah umat Israel menyebut-nyebut peribahasa ini: ‘Masa berlalu, tetapi nubuat tidak berlaku’?
23 Oleh itu beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN Raja memberikan jawapan ini: Aku akan menghapuskan peribahasa itu sehingga tidak diucapkan di Israel lagi. Sebaliknya, beritahulah mereka bahawa telah tiba masanya nubuat-nubuat itu berlaku.
24 Di Israel tiada lagi penglihatan yang palsu atau nubuat yang menyesatkan.
25 Aku, TUHAN akan berfirman kepada umat Israel, dan segala yang Aku firmankan pasti berlaku, tanpa ditunda-tunda lagi. Hai pemberontak, pada masa hidup kamu, Aku akan melaksanakan apa yang telah Kuperingatkan kepada kamu. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.”
26 TUHAN berfirman kepadaku,
27 “Hai manusia fana, umat Israel menyangka bahawa penglihatan dan nubuatmu itu tentang masa hadapan yang lama lagi.
28 Oleh itu beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN Raja berfirman: Semua yang Aku firmankan pasti berlaku, tanpa ditunda-tunda lagi. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman!”