1 Pada hari kesepuluh, bulan kelima, dalam tahun ketujuh masa kami dalam buangan, beberapa orang pemimpin masyarakat Israel datang bertanya kepadaku tentang kehendak TUHAN. Mereka duduk di hadapanku.
2 Kemudian TUHAN berfirman kepadaku,
3 “Hai manusia fana, berkatalah kepada pemimpin-pemimpin ini. Beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN Raja berfirman begini: Kamu datang hendak menanyakan kehendak-Ku, bukan? Demi Aku, Allah yang hidup, Aku tidak akan membenarkan kamu menanyakan apa-apa pun. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.
4 Hai manusia fana, adakah engkau bersedia menjatuhkan hukuman kepada mereka? Kalau engkau sedia melakukan hal itu, ingatkanlah mereka tentang segala perbuatan jijik yang dilakukan oleh nenek moyang mereka.
5 Sampaikanlah firman-Ku kepada mereka. Ketika Aku memilih Israel, Aku membuat perjanjian dengan mereka. Aku menyatakan diri-Ku kepada mereka di Mesir dan memberitahu mereka, ‘Akulah TUHAN, Allah kamu.’
6 Ketika itulah Aku berjanji akan membawa mereka keluar dari Mesir, dan memimpin mereka ke tanah yang telah Kupilih untuk mereka, tanah yang kaya dan subur, dan terbaik.
7 Aku menyuruh mereka membuang berhala yang menjijikkan, yang disukai mereka, dan melarang mereka menajiskan diri dengan menyembah berhala orang Mesir, kerana Akulah TUHAN, Allah mereka.
8 Tetapi mereka melawan Aku dan tidak mahu mendengar firman-Ku. Mereka tidak membuang berhala-berhala yang menjijikkan itu, ataupun berhenti menyembah berhala orang Mesir. Pada waktu mereka masih di Mesir, Aku telah bersedia untuk membiarkan mereka merasakan segala kedahsyatan kemurkaan-Ku.
9 Tetapi Aku tidak berbuat demikian, kerana hal itu akan menyebabkan nama-Ku dihina. Di hadapan penduduk Mesir, Aku telah mengumumkan kepada umat Israel bahawa Aku akan memimpin mereka keluar dari Mesir.
10 Maka Aku membawa mereka keluar dari Mesir ke padang gurun.
11 Aku memberi mereka perintah-Ku dan mengajar mereka hukum-Ku, yang memberikan hidup kepada sesiapa yang mentaatinya.
12 Aku menyuruh mereka menghormati hari Sabat sebagai tanda perjanjian antara Aku dengan mereka, untuk mengingatkan mereka bahawa Aku, TUHAN telah mengkhususkan mereka untuk-Ku.
13 Tetapi di padang gurun itu pun mereka melawan Aku. Mereka melanggar hukum-Ku dan menolak perintah-Ku, yang memberikan hidup kepada sesiapa yang mentaatinya. Mereka sama sekali mencemarkan hari Sabat. Aku telah bersedia untuk membiarkan mereka merasakan segala kedahsyatan kemurkaan-Ku di padang gurun itu dan Aku hendak membinasakan mereka.
14 Tetapi Aku tidak berbuat demikian kerana hal itu akan menyebabkan nama-Ku dihina antara bangsa-bangsa yang telah melihat Aku memimpin umat Israel keluar dari Mesir.
15 Oleh itu di padang gurun itu Aku berjanji tidak akan membenarkan mereka pergi ke tanah yang telah Aku berikan kepada mereka, tanah yang kaya dan subur, dan terbaik.
16 Aku berbuat demikian kerana mereka telah menolak perintah-Ku, melanggar hukum-Ku, dan mencemarkan hari Sabat. Mereka lebih suka menyembah berhala-berhala mereka.
17 Tetapi kemudian Aku mengasihani mereka. Aku tidak membunuh mereka di padang gurun itu.
18 Sebaliknya Aku memberikan amaran kepada kaum muda: Jangan patuh kepada hukum nenek moyang kamu; jangan ikut adat resam mereka, dan jangan najiskan diri dengan menyembah berhala-berhala mereka.
19 Aku TUHAN, Allah kamu. Taatilah hukum dan perintah-Ku.
20 Rayakanlah hari Sabat sebagai tanda perjanjian antara Aku dengan kamu, untuk mengingatkan kamu bahawa Akulah TUHAN, Allah kamu.
21 Tetapi generasi kaum muda itu pun melawan Aku. Mereka melanggar hukum-Ku dan mengabaikan perintah-Ku yang memberikan hidup kepada sesiapa yang mentaatinya. Mereka mencemarkan hari Sabat. Aku telah bersedia untuk membiarkan mereka merasakan segala kedahsyatan kemurkaan-Ku di padang gurun itu dan Aku hendak membunuh mereka semua.
22 Tetapi Aku tidak berbuat demikian, kerana hal itu akan menyebabkan nama-Ku dihina antara bangsa-bangsa yang telah melihat Aku membawa umat Israel keluar dari Mesir.
23 Oleh itu Aku berjanji lagi di padang gurun itu. Aku bersumpah bahawa Aku akan mencerai-beraikan mereka ke seluruh dunia.
24 Aku berbuat demikian kerana mereka telah menolak perintah-Ku, melanggar hukum-Ku, mencemarkan hari Sabat, dan menyembah berhala-berhala yang dipuja oleh nenek moyang mereka.
25 Kemudian Aku memberi mereka hukum yang tidak baik dan perintah yang tidak dapat memberikan hidup.
26 Aku membiarkan mereka menajiskan diri dengan persembahan mereka sendiri. Aku membiarkan mereka mempersembahkan anak lelaki sulung mereka sebagai korban. Hal itu berlaku untuk menghukum mereka supaya mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.
27 Sekarang, hai manusia fana, sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka. Nenek moyang mereka menghina Aku lagi dengan ketidaksetiaan mereka.
28 Aku membawa mereka ke tanah yang Aku janjikan, tetapi apabila mereka nampak bukit yang tinggi-tinggi dan pokok hijau, mereka mempersembahkan korban di tempat-tempat itu. Mereka membangkitkan kemurkaan-Ku dengan korban yang dibakar dan wain yang dipersembahkan mereka.
29 Aku bertanya: Apakah tempat-tempat tinggi yang kamu kunjungi itu? Sejak itu tempat itu dinamakan ‘Tempat-tempat tinggi’.
30 Oleh itu sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada umat Israel: Mengapakah kamu mesti berdosa seperti nenek moyang kamu, dan mengejar berhala-berhala mereka?
31 Bahkan sampai hari ini pun kamu memberikan persembahan yang sama, dan menajiskan diri dengan membakar anak-anak kamu sebagai korban kepada berhala-berhala. Kemudian kamu, hai umat Israel, datang pula untuk menanyakan kehendak-Ku! Demi Aku, Allah yang hidup, TUHAN Raja, Aku tidak akan membenarkan kamu menanyakan apa-apa pun.
32 Kamu bertekad menjadi seperti bangsa-bangsa lain, seperti orang yang tinggal di negeri-negeri lain dan yang menyembah pokok dan batu. Hal itu pasti tidak akan berlaku.”
33-34 “Demi Aku, TUHAN Raja, Allah yang hidup, Aku memberikan amaran kepada kamu bahawa kerana kemurkaan-Ku, Aku akan memerintah kamu dengan keras dan tegas. Kamu akan merasakan kuasa dan kemurkaan-Ku apabila Aku mengumpulkan dan membawa kamu kembali dari negeri-negeri tempat kamu tercerai-cerai.
35 Aku akan membawa kamu ke ‘Gurun Bangsa-Bangsa’. Di sana Aku akan menghakimi kamu berhadapan muka.
36 Aku akan menghakimi kamu seperti Aku menghakimi nenek moyang kamu di padang gurun Sinai dahulu.” Demikianlah firman TUHAN Raja.
37 “Aku akan bertindak tegas terhadap kamu supaya kamu mentaati perjanjian-Ku.
38 Aku akan menyingkirkan orang yang memberontak dan berdosa di kalangan kamu. Aku akan membawa mereka keluar dari negeri-negeri tempat mereka tinggal sekarang, dan Aku tidak akan mengizinkan mereka kembali ke negeri Israel. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN.”
39 TUHAN Raja berfirman, “Sekarang hai umat Israel, buatlah sesuka hati kamu! Sembahlah berhala kamu! Tetapi Aku memberi kamu amaran bahawa, selepas itu kamu mesti mentaati Aku, dan tidak lagi mencemarkan nama-Ku yang suci dengan membawa persembahan kepada berhala kamu.
40 Di tanah Israel, di puncak bukit-Ku yang suci, kamu semua, umat Israel akan menyembah Aku. Aku akan berkenan kepada kamu, dan menerima persembahan korban, persembahan yang terbaik, dan pemberian yang suci daripada kamu.
41 Setelah Aku membawa kamu keluar dari negeri-negeri tempat kamu tercerai-cerai, Aku akan mengumpulkan kamu dan menerima korban yang kamu bakar. Maka semua bangsa akan melihat bahawa Aku ini suci.
42 Apabila Aku membawa kamu pulang ke negeri Israel, tanah yang Aku janjikan kepada nenek moyang kamu, barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN.
43 Kamu akan teringat segala perbuatan yang memalukan dan yang telah menajiskan diri kamu. Kamu akan berasa muak terhadap diri kamu sendiri kerana segala kejahatan yang kamu lakukan itu.
44 Apabila Aku bertindak untuk menjaga kehormatan nama-Ku, kamu umat Israel akan tahu bahawa Akulah TUHAN, kerana Aku tidak memperlakukan kamu setimpal dengan perbuatan kamu yang kejam dan jahat.” TUHAN Raja telah berfirman.
45 TUHAN berfirman kepadaku,
46 “Hai manusia fana, lihatlah ke arah selatan. Kecamlah tanah selatan dan bernubuatlah menentang hutan di sana.
47 Suruhlah hutan di selatan itu mendengarkan apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan: Aku akan menyalakan api yang membakar setiap pokok di hutan itu, baik yang hijau mahupun yang kering. Api yang menyala-nyala itu tidak dapat dipadamkan tetapi akan merebak dari selatan ke utara, dan setiap orang akan merasa bahang api itu.
48 Semua orang akan tahu bahawa Aku, TUHAN menyalakan api itu, dan api itu tidak dapat dipadamkannya.”
49 Tetapi aku, Yehezkiel berkata, “TUHAN Raja, jangan paksa aku mengatakannya. Setiap orang sudah pun bersungut kerana aku selalu bercakap dengan menggunakan kiasan yang susah difahami.”