1 Pada hari kedua belas, bulan kesepuluh, tahun kesepuluh masa kami dalam buangan, TUHAN berfirman kepadaku,
2 “Hai manusia fana, kecamlah raja Mesir. Beritahulah dia bahawa dia dan semua rakyatnya akan dihukum.
3 Beritahulah dia bahawa inilah firman TUHAN Raja kepada raja Mesir, ‘Aku musuhmu, hai buaya raksasa yang berbaring di sungai! Engkau berkata bahawa Sungai Nil itu milikmu, dan engkau yang menciptanya.
4 Aku akan memasang kait pada rahangmu, dan menyebabkan ikan-ikan di sungai melekat padamu. Lalu Aku akan mengangkat engkau dan segala ikan yang melekat padamu, keluar dari Sungai Nil.
5 Kemudian Aku akan melemparkan engkau bersama-sama semua ikan itu ke padang gurun. Tubuhmu akan terlantar di atas tanah dan tidak dikebumikan. Aku akan membiarkan tubuhmu dimakan burung dan binatang.
6 Maka semua penduduk Mesir akan tahu bahawa Akulah TUHAN.’ ”TUHAN berfirman, “Umat Israel bergantung kepada kamu orang Mesir untuk menolong mereka, tetapi kamu hanya seperti tongkat yang lemah.
7 Ketika mereka bersandar pada kamu, kamu patah dan menusuk ketiak mereka sehingga belakang mereka tergeliat.
8 Oleh itu Aku, TUHAN Raja berfirman kepada kamu, bahawa Aku akan mendatangkan orang untuk menyerang kamu dengan pedang. Mereka akan membunuh penduduk dan ternakan kamu.
9 Mesir akan menjadi tandus dan lengang. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.Hai raja Mesir! Kerana engkau mengatakan Sungai Nil itu milikmu, dan engkau yang menciptanya,
10 maka Aku menjadi musuhmu dan musuh sungaimu. Aku akan menjadikan seluruh Mesir tandus dan lengang, mulai dari kota Migdol di sebelah utara sampai ke kota Aswan di sebelah selatan, bahkan sampai ke sempadan Etiopia.
11 Tiada manusia ataupun binatang akan melaluinya. Selama empat puluh tahun tempat itu tidak akan dihuni.
12 Aku akan menjadikan Mesir negeri yang paling tandus dan lengang di seluruh dunia. Selama empat puluh tahun kota-kota di Mesir akan merupakan runtuhan yang lebih teruk daripada mana-mana kota. Aku akan menjadikan orang Mesir orang pelarian. Mereka akan lari ke segala negeri dan tinggal antara bangsa lain.”
13 TUHAN Raja berfirman, “Selepas empat puluh tahun Aku akan membawa orang Mesir pulang dari negeri-negeri tempat Aku mencerai-beraikan mereka.
14 Aku akan membiarkan mereka tinggal di bahagian selatan Mesir, negeri asal mereka. Mereka akan tinggal di sana dan membentuk suatu kerajaan yang lemah,
15 iaitu kerajaan yang paling lemah dan tidak akan menguasai bangsa-bangsa lain lagi. Aku akan menjadikan mereka begitu lemah sehingga mereka tidak lagi dapat menaklukkan mana-mana bangsa.
16 Israel tidak akan meminta pertolongan mereka lagi. Apabila orang Israel mengingat apa yang berlaku kepada orang Mesir, orang Israel akan sedar betapa salahnya bergantung kepada pertolongan orang Mesir. Maka orang Israel akan tahu bahawa Akulah TUHAN Raja.”
17 Pada hari pertama, bulan pertama, tahun kedua puluh tujuh masa kami dalam buangan, TUHAN berfirman kepadaku,
18 “Hai manusia fana, Raja Nebukadnezar dari Babilonia telah menyerang Tirus. Dia menyuruh askarnya memikul beban yang begitu berat sehingga kepala mereka menjadi botak dan bahu mereka lecet. Namun raja mahupun tenteranya tidak berjaya merebut kota itu.
19 Oleh itu Aku, TUHAN Raja berfirman, ‘Aku akan memberikan negeri Mesir kepada Raja Nebukadnezar. Dia akan menjarah negeri itu dan merampas segala harta negeri itu sebagai upah tenteranya.
20 Aku akan menyerahkan Mesir kepadanya sebagai balasan jasanya, kerana tenteranya telah berkhidmat kepada-Ku. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.’
21 Apabila perkara itu berlaku, Aku akan menjadikan umat Israel bangsa yang kuat. Aku akan memungkinkan engkau, hai Yehezkiel, berkata-kata kepada mereka, supaya mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.”