Yehezkiel 38 BM

Gog Menyerang Israel

1 TUHAN berfirman kepadaku,

2 “Hai manusia fana, kecamlah Gog, penguasa utama negeri-negeri Mesekh dan Tubal di tanah Magog. Kecamlah dia

3 dan beritahulah dia bahawa Aku, TUHAN Raja, ialah musuhnya.

4 Aku akan menjadikan dia tidak berdaya, memasang kait pada rahangnya, dan menyeretnya bersama-sama semua pasukannya. Pasukan berkudanya yang berpakaian seragam itu sangat banyak bilangannya. Tiap-tiap askar mempunyai perisai dan pedang.

5 Tenteranya terdiri daripada askar dari Persia, Etiopia, dan Libia, dan masing-masing mempunyai perisai dan topi besi.

6 Semua pejuang dari negeri-negeri Gomer dan Bet-Togarma di utara pun termasuk tenteranya. Askar-askar dari banyak bangsa lain ikut juga.

7 Suruhlah Gog bersiap, dan hendaklah semua pasukannya pun bersiap melaksanakan perintahnya.

8 Selepas bertahun-tahun, Aku akan memerintah dia menyerang Israel, negeri yang sudah dibangun semula setelah musnah kerana perang. Negeri itu telah lama dibiarkan menjadi tandus dan lengang, kemudian orang Israel kembali dari negeri-negeri asing ke pergunungan negeri mereka. Sekarang mereka semua hidup dengan aman.

9 Gog dan tenteranya, serta banyak bangsa yang mengiringinya akan menyerang seperti badai dan meliputi seluruh negeri itu seperti awan.”

10 TUHAN Raja berfirman kepada Gog, “Pada masa itu, engkau akan membuat rancangan jahat.

11 Engkau bertekad untuk menyerang satu negeri yang tidak mempunyai pertahanan, negeri yang penduduknya hidup dengan aman dan tenteram di kota-kota yang tidak bertembok dan tidak mempunyai alat-alat pertahanan.

12 Engkau akan merompak dan menjarah harta penduduk kota-kota yang runtuh pada waktu dahulu. Mereka telah dikumpulkan dari negeri-negeri lain dan sekarang mereka mempunyai banyak harta dan ternak. Mereka tinggal di pusat dunia.

13 Orang Syeba, orang Dedan, dan pedagang-pedagang dari kota-kota Sepanyol akan bertanya kepadamu, ‘Adakah engkau mengumpulkan tenteramu dan melancarkan serangan untuk menjarah serta merompak? Adakah engkau berniat untuk melarikan segala perak dan emas, ternak dan harta benda itu?’ ”

14 Maka TUHAN Raja mengutus aku untuk memberitahu Gog tentang firman-Nya, “Sekarang, sedang Israel, umat-Ku hidup dengan aman, engkau akan berangkat

15 dari tempatmu yang jauh di utara. Engkau akan membawa pasukan berkuda yang besar dan kuat dari negeri-negeri lain,

16 dan menyerang Israel, umat-Ku, seperti badai melanda bumi. Pada masa itu, Aku akan mengutus engkau untuk menyerang negeri-Ku. Dengan tindakan-Ku melalui engkau, bangsa-bangsa akan tahu bahawa Aku suci.

17 Engkaulah yang Aku sebut dahulu, ketika Aku berfirman melalui nabi-nabi-Ku di Israel, bahawa pada masa depan Aku akan mengutus seorang untuk menyerang Israel.” TUHAN Raja telah berfirman.

Allah Menghukum Gog

18 TUHAN Raja berfirman, “Pada hari Gog menyerang Israel, Aku akan menjadi berang.

19 Dengan sangat murka Aku menyatakan bahawa pada hari itu gempa bumi yang kuat akan berlaku di negeri Israel.

20 Semua ikan dan burung, semua binatang besar dan kecil, dan semua orang di atas bumi ini akan gementar kerana takut akan Aku. Gunung akan runtuh, tebing akan longsor, dan semua tembok akan roboh.

21 Aku akan menakutkan Gog dengan segala macam bencana. Aku, TUHAN Raja telah berfirman. Anak buahnya akan menyerang satu sama lain dengan pedang.

22 Lalu Aku akan menghukum dia dengan wabak dan pertumpahan darah. Hujan lebat, hujan batu, api, dan belerang akan menimpa dia dan tenteranya, serta bangsa-bangsa yang memihaknya.

23 Dengan cara itu Aku akan menunjukkan kebesaran dan kesucian-Ku kepada semua bangsa. Barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.”