Yehezkiel 23 BM

Dua Orang Adik-beradik Perempuan yang Berdosa

1 TUHAN berfirman kepadaku,

2 “Hai manusia fana, ada dua orang adik-beradik perempuan.

3 Ketika masih muda, mereka tinggal di Mesir. Di situ mereka kehilangan keperawanan mereka lalu menjadi pelacur.

4 Yang lebih tua bernama Ohola (dia melambangkan Samaria), dan yang muda bernama Oholiba (dia melambangkan Yerusalem). Aku berkahwin dengan kedua-duanya, dan mendapat anak daripada mereka.

5 Walaupun Ohola telah menjadi isteri-Ku, dia tetap menjadi pelacur dan berahi terhadap kekasih-kekasihnya dari Asyur.

6 Mereka askar yang berpakaian seragam warna ungu, para bangsawan, dan pegawai berpangkat tinggi; mereka semua ahli pasukan tentera berkuda dan mereka kacak.

7 Ohola menjadi pelacur bagi semua pegawai negeri Asyur. Nafsunya mengakibatkan dia menajiskan diri dengan menyembah berhala-berhala Asyur.

8 Dia terus-menerus melacur seperti yang dilakukannya dahulu di Mesir, tempat dia kehilangan keperawanannya. Sejak masa mudanya, orang lelaki tidur dengan dia dan memperlakukannya seperti pelacur.

9 Oleh itu Aku menyerahkan dia kepada kekasihnya, orang Asyur yang sangat diingininya.

10 Mereka menelanjangi dia, merampas anak lelaki dan anak perempuannya, lalu membunuh dia dengan pedang. Nasibnya menjadi buah mulut kaum wanita di merata tempat.

11 Walaupun adiknya, Oholiba nampak hal itu, dia sendiri lebih bernafsu melakukan pelacuran daripada kakaknya.

12 Dia pun berahi terhadap bangsawan dan pegawai tentera negeri Asyur - askar yang berpakaian seragam warna semarak - dan terhadap pasukan berkuda, semuanya pemuda yang kacak.

13 Aku mendapati Oholiba sangat cabul seperti kakaknya.

14-15 Makin lama makin jahatlah Oholiba. Dia tertarik kepada gambar-gambar berwarna merah marak yang terukir pada tembok. Gambar itu merupakan pegawai tinggi tentera Babilonia dengan tali pinggang dan serban yang berjuntai.

16 Sebaik sahaja Oholiba melihat gambar itu, berahinya memuncak lalu dia mengirim utusan kepada mereka di Babilonia.

17 Orang Babilonia pun datang dan melakukan hubungan jenis dengan dia. Mereka menodai dia sedemikian rupa sehingga akhirnya dia muak terhadap mereka.

18 Dia mempertontonkan tubuhnya yang telanjang kepada umum sehingga semua orang tahu bahawa dia seorang pelacur. Aku berasa muak terhadapnya, sebagaimana Aku muak terhadap kakaknya.

19 Semakin lama semakin sering dia melacur. Dia berkelakuan seperti waktu mudanya di Mesir.

20 Dia penuh berahi terhadap lelaki yang berhawa nafsu kuat seperti keldai atau kuda jantan.” (

21 Hai Oholiba, engkau ingin mengulangi kecabulanmu pada masa mudamu di Mesir. Di sana kaum lelaki meraba-raba buah dadamu dan engkau hilang keperawananmu.)

Allah Menghakimi Oholiba

22 “Oleh itu, hai Oholiba, dengarlah firman daripada-Ku, TUHAN Raja. Engkau telah jemu dengan kekasih-kekasihmu. Tetapi sekarang Aku akan membuat mereka marah terhadapmu dan mengepungmu.

23 Aku akan mengumpulkan semua orang Babilonia, orang Kasdim, kaum lelaki dari Pekod, Soa, Koa, dan semua orang Asyur. Aku akan mengumpulkan semua pemuda kacak daripada golongan bangsawan dan pegawai, serta semua pegawai besar dan askar pasukan berkuda yang berpangkat tinggi.

24 Mereka akan menyerang engkau dari utara dengan tentera yang besar, dengan kereta kuda dan pedati pembawa bekal. Dengan memakai perisai dan topi besi, mereka akan mengepung engkau. Aku akan menyerahkan engkau kepada mereka dan mereka akan menghakimi engkau menurut undang-undang mereka sendiri.

25 Kerana Aku murka terhadapmu, Aku akan membiarkan mereka memperlakukan engkau dengan kejam. Mereka akan memotong hidung dan telingamu, serta membunuh anak-anakmu yang lelaki dan perempuan. Sesungguhnya mereka akan menangkap lalu membakar anak-anakmu dengan hidup-hidup.

26 Mereka akan mengoyakkan pakaianmu dan merampas perhiasanmu.

27 Aku akan menghentikan nafsu berahimu dan pelacuran yang kaulakukan sejak engkau di Mesir. Engkau tidak akan melihat berhala lagi atau ingat kepada Mesir.”

28 Demikianlah TUHAN Raja berfirman, “Aku akan menyerahkan engkau kepada orang yang memuakkan engkau dan yang engkau benci.

29 Kerana mereka pun membenci engkau, mereka akan merampas segala hasil jerih payahmu, lalu membiarkan engkau bogel seperti pelacur. Nafsu berahi dan pelacuranmu

30 telah menyebabkan hal ini berlaku kepadamu. Engkau menjadi pelacur bagi bangsa-bangsa, dan menajiskan dirimu dengan berhala-berhala mereka.

31 Engkau mengikut jejak kakakmu; oleh itu engkau harus minum dari cawan yang berisikan hukuman.”

32 TUHAN Raja berfirman,“Engkau harus minum dari cawan kakakmu,cawan yang besar dan dalam.Apabila engkau minum dari cawan yang penuh itu,engkau akan diejek dan diolok oleh semua orang.

33 Engkau akan mabuk dan sengsarakerana cawan itu penuh dengan ketakutan dan kehancuran.Itulah hukuman yang menimpa Samaria, kakakmu.

34 Engkau akan meminumnya sampai habis;lalu engkau akan memecahkan cawan itudan mengelar dadamu dengan pecahan cawan itu.Aku, TUHAN Raja telah berfirman.”

35 Inilah firman TUHAN Raja, “Kerana engkau telah melupakan Aku serta membelakangi Aku, engkau akan menanggung penderitaan akibat nafsu berahi dan pelacuranmu.”

Hukuman Allah terhadap Dua Orang Adik-beradik

36 TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, sudahkah engkau bersedia menghakimi Ohola dan Oholiba? Persalahkan mereka kerana melakukan perbuatan yang menjijikkan.

37 Mereka telah berzina dan membunuh orang. Mereka berzina dengan berhala-berhala dan membunuh anak-anak-Ku yang dilahirkan mereka. Mereka mempersembahkan anak-anak-Ku sebagai korban kepada berhala mereka.

38 Bukan itu sahaja. Mereka menajiskan Rumah-Ku dan hari Sabat yang telah Kutetapkan.

39 Mereka membunuh anak-anak-Ku untuk dipersembahkan sebagai korban kepada berhala, dan pada hari itu juga mereka datang ke Rumah-Ku dan mencemarkannya!

40 Mereka bahkan mengirim pesuruh untuk menjemput orang lelaki dari tempat jauh. Apabila lelaki itu datang, kedua-dua adik-beradik itu mandi, bercelak, dan memakai perhiasan.

41 Mereka duduk di bangku panjang yang indah, di hadapan meja yang penuh dengan makanan enak, dan kemenyan serta minyak zaitun yang Aku berikan kepada mereka.

42 Orang lelaki yang dijemput dari padang gurun berkumpul di situ dan terdengar suara mereka bersuka-suka. Mereka mengenakan gelang pada lengan adik-beradik itu, dan memasang mahkota yang cantik pada kepala mereka.

43 Aku perhatikan bahawa semua orang itu masih penuh berahi terhadap wanita yang sudah layu kerana perzinaan.

44 Berkali-kali mereka datang kepada Ohola dan Oholiba, dua orang wanita yang cabul itu.

45 Orang salih akan menyatakan adik-beradik itu bersalah kerana perzinaan dan pembunuhan. Mereka telah berzina dan menumpahkan darah.”

46 TUHAN Raja berfirman, “Panggillah segerombolan orang untuk menakutkan dan merompak mereka.

47 Biarlah gerombolan itu merejam mereka dan menyerang mereka dengan pedang, membunuh anak-anak mereka, dan membakar rumah mereka.

48 Aku akan mengakhiri kecabulan di seluruh negeri. Tindakan-Ku itu akan menjadi amaran kepada semua wanita supaya jangan sekali-kali berzina seperti kedua-dua adik-beradik itu.

49 Sedangkan kamu berdua, hai Ohola dan Oholiba, akan Kuhukum kerana kamu cabul dan menyembah berhala. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN Raja.”