1 Allah berfirman, “Hai manusia fana, ambillah sebuah batu bata dan letakkan di hadapanmu. Lakarlah kota Yerusalem di atas batu bata itu.
2 Kemudian untuk melambangkan pengepungan kota itu, buatlah parit, timbunan tanah, perkhemahan, dan kayu-kayu pelantak di sekeliling batu bata itu.
3 Ambillah sebuah kuali besi dan tegakkanlah kuali itu sebagai tembok di antara engkau dan kota itu. Menghadaplah ke arah kota itu seakan-akan engkau yang mengepungnya. Hal itu akan menjadi tanda bagi bangsa Israel.
4-5 Kemudian berbaringlah pada sebelah kirimu. Aku akan menimpakan kesalahan bangsa Israel kepadamu. Selama 390 hari engkau akan berbaring di situ dan menderita kerana kesalahan mereka. Satu hari engkau berbaring melambangkan satu tahun hukuman bagi bangsa Israel.
6 Selepas itu balikkanlah badanmu dan berbaringlah pula pada sebelah kananmu. Rasakanlah hukuman untuk kesalahan penduduk Yehuda selama empat puluh hari, satu hari melambangkan satu tahun hukuman bagi mereka.
7 Tataplah pengepungan Yerusalem dan acungkanlah tinjumu lalu bernubuatlah terhadap kota itu.
8 Aku akan mengikat engkau supaya engkau tidak dapat membalikkan badan ke kanan ataupun ke kiri sehingga pengepungan itu berakhir.
9 Sekarang ambillah gandum, barli, kacang merah, kacang polong, sekoi, dan gandum halus. Campurkanlah semuanya dan buatlah roti. Itulah makananmu selama 390 hari engkau berbaring pada sebelah kirimu.
10 Engkau dibenarkan memakan 230 gram roti sehari, dan makanan itu harus cukup sehingga esok hari.
11 Air minummu pun terhad kepada dua cawan sehari.
12 Buatlah api dengan menggunakan najis manusia sebagai bahan bakar. Bakarlah roti di atas api itu dan makanlah roti itu di hadapan semua orang.”
13 TUHAN berfirman, “Demikianlah cara umat Israel makan makanan yang dilarang oleh Taurat, manakala Aku mencerai-beraikan mereka ke negeri-negeri asing.”
14 Tetapi aku menjawab, “Janganlah demikian, ya TUHAN Raja! Aku tidak pernah menajiskan diri. Sejak kecil aku tidak pernah makan daging daripada binatang yang mati biasa, atau daging daripada haiwan yang menjadi mangsa binatang buas. Aku tidak pernah makan makanan yang dianggap najis.”
15 Oleh itu Allah berfirman, “Baiklah, engkau boleh menggunakan tahi lembu sebagai ganti najis manusia untuk membakar roti.”
16 Dia berfirman lagi, “Hai manusia fana, Aku akan menghentikan pembekalan roti untuk Yerusalem. Penduduk kota itu akan cemas dan khuatir semasa mereka menakar makanan dan air minum mereka.
17 Mereka akan kehabisan roti dan air; mereka akan putus asa, dan akhirnya mati kerana dosa mereka.”