Yehezkiel 42 BM

Dua Buah Bangunan Dekat Rumah TUHAN

1 Kemudian lelaki itu membawa aku ke halaman luar, lalu menuntun aku ke sebuah bangunan di sebelah utara Rumah TUHAN, tidak jauh dari bangunan yang terletak di sebelah barat Rumah TUHAN.

2 Panjang bangunan itu 50 meter dan lebarnya 25 meter.

3 Satu sisi bangunan itu menghadap ke ruang yang terbuka, yang lebarnya 10 meter, di sisi Rumah TUHAN. Sisi lain bangunan itu menghadap ke kawasan berturap batu di halaman luar. Bangunan itu bertingkat tiga; setiap tingkat dibina lebih ke dalam daripada tingkat yang di bawahnya.

4 Di sebelah utara bangunan itu ada sebuah lorong; lebarnya 5 meter dan panjangnya 50 meter. Pintu-pintu bangunan itu menghadap ke sebelah utara.

5 Bilik-bilik di tingkat atas lebih kecil daripada yang di tingkat tengah dan tingkat bawah, kerana lorong-lorongnya lebih lebar daripada yang ada di bawahnya.

6 Bilik-bilik itu bertingkat tiga dan tidak ditunjang oleh tiang seperti bangunan lain di halaman itu.

7-8 Separuh daripada tingkat bawah, sepanjang 25 meter merupakan tembok sahaja, sedangkan pada bahagian separuh lagi, juga sepanjang 25 meter, dibina bilik-bilik. Pada tingkat yang paling atas ada bilik-bilik di sepanjang bangunan itu.

9-10 Di bawah bilik-bilik di hujung sebelah timur bangunan itu, iaitu pada pangkal tembok, ada pintu yang menuju ke halaman luar.Di bahagian selatan Rumah TUHAN ada sebuah bangunan yang serupa itu juga dan letaknya tidak jauh dari bangunan di sebelah barat.

11 Di depan bilik-biliknya terdapat juga lorong seperti yang di sebelah utara. Ukurannya sama, rekabentuknya sama, dan pintu-pintu masuknya pun sama.

12 Di bawah bilik-bilik di sebelah selatan bangunan itu, iaitu di hujung sebelah timur pada pangkal tembok, ada juga sebuah pintu.

13 Lelaki itu berkata kepadaku, “Kedua-dua buah bangunan ini suci. Di sinilah para imam yang menghadap TUHAN makan persembahan yang paling suci. Oleh sebab bilik-bilik itu suci, para imam akan meletakkan persembahan yang paling suci di situ: korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, korban untuk mengampunkan dosa, dan korban untuk membayar ganti rugi.

14 Apabila para imam yang di dalam Rumah TUHAN hendak keluar ke halaman luar, mereka harus meninggalkan pakaian yang suci di dalam bilik-bilik itu. Pakaian itu dipakai ketika mereka melayani TUHAN. Mereka mesti memakai pakaian lain sebelum keluar ke tempat orang ramai berkumpul.”

Ukuran Kawasan Rumah TUHAN

15 Apabila selesai mengukur kawasan dalam Rumah TUHAN, lelaki itu membawa aku keluar melalui pintu gerbang timur, dan mengukur kawasan luar.

16 Dengan kayu pengukur, dia mengukur sisi sebelah timur; panjangnya 250 meter.

17-19 Lalu dia mengukur sisi sebelah utara, selatan, dan barat; setiap sisi berukuran sama, iaitu 250 meter.

20 Kawasan Rumah TUHAN itu empat persegi; panjangnya tembok pada tiap-tiap sisi ialah 250 meter. Tembok itu memisahkan apa yang suci daripada apa yang tidak suci.