1 Pada hari kelima bulan keempat dalam tahun ketiga puluh, aku, Imam Yehezkiel anak Busi, berada di tepi Sungai Kebar di Babilonia bersama-sama orang buangan Yahudi. Ketika itu langit terbuka dan aku mendapat suatu penglihatan tentang Allah. (
2 Hal itu berlaku lima tahun selepas Raja Yoyakhin dibuang negeri.)
3 Di negeri Babilonia, di tepi Sungai Kebar, aku mendengar TUHAN berfirman kepadaku, dan aku merasa kuasa-Nya.
4 Aku menengadah dan melihat angin ribut datang dari utara. Kilat sambar-menyambar dari awan yang amat besar, dan langit di sekelilingnya terang-benderang. Ketika kilat itu sambar-menyambar, terlihat sesuatu yang bersinar-sinar seperti gangsa.
5 Di tengah-tengah angin ribut itu aku nampak juga empat kerub, iaitu makhluk yang menyerupai manusia,
6 tetapi setiap makhluk mempunyai empat muka dan empat sayap.
7 Kaki makhluk itu lurus, berkuku seperti kuku anak lembu dan bersinar-sinar seperti gangsa yang digilap.