14 Setiap kerub mempunyai empat muka yang berlainan: yang pertama muka lembu, yang kedua muka manusia, yang ketiga muka singa, dan yang keempat muka helang.
15 Kerub-kerub itulah yang aku nampak dahulu di tebing Sungai Kebar. Apabila kerub-kerub itu naik ke udara
16 dan bergerak, roda-roda itu ikut sama. Apabila kerub-kerub itu mengembangkan sayap untuk terbang, roda-roda itu pun ikut.
17 Apabila kerub-kerub itu berhenti atau terbang, roda-roda itu pun ikut kerana dikuasai oleh kerub-kerub itu.
18 Kemudian cahaya berkilauan yang menandakan hadirat TUHAN, meninggalkan pintu masuk Rumah TUHAN dan pindah ke atas kerub-kerub itu.
19 Kerub-kerub itu mengembangkan sayap lalu terbang dari muka bumi sedang aku memandang, dan roda-roda pun ikut. Kerub-kerub itu berhenti sebentar di pintu gerbang timur Rumah TUHAN, dan cahaya yang berkilauan itu tetap di atas kerub-kerub itu.
20 Aku mengenali semua kerub itu sebagai kerub-kerub yang ada di bawah Allah Israel, yang telah aku nampak di tebing Sungai Kebar.