18 “Hai manusia fana, gementarlah apabila engkau makan, dan menggigillah dengan takut apabila engkau minum.
19 Beritahulah seluruh bangsa bahawa inilah firman TUHAN Raja kepada penduduk Yerusalem yang masih tinggal di negeri mereka: Mereka akan gementar apabila mereka makan, dan menggigil dengan takut apabila mereka minum. Negeri mereka akan musnah dan menjadi tandus kerana semua orang yang tinggal di situ melanggar hukum.
20 Kota-kota yang sekarang penuh dengan orang akan musnah, dan negeri itu akan menjadi padang gurun. Pada waktu itu barulah mereka sedar bahawa Akulah TUHAN.”
21 TUHAN berfirman kepadaku,
22 “Hai manusia fana, mengapakah umat Israel menyebut-nyebut peribahasa ini: ‘Masa berlalu, tetapi nubuat tidak berlaku’?
23 Oleh itu beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN Raja memberikan jawapan ini: Aku akan menghapuskan peribahasa itu sehingga tidak diucapkan di Israel lagi. Sebaliknya, beritahulah mereka bahawa telah tiba masanya nubuat-nubuat itu berlaku.
24 Di Israel tiada lagi penglihatan yang palsu atau nubuat yang menyesatkan.