12 Aku memberi engkau cincin hidung, anting-anting, dan mahkota yang indah.
13 Perhiasanmu dibuat daripada emas dan perak, dan pakaianmu dibuat daripada linen, sutera, dan kain bersulam. Engkau makan roti yang dibuat daripada gandum terbaik, dengan madu dan minyak zaitun. Kecantikanmu luar biasa, sehingga engkau menjadi ratu.
14 Kerana kecantikanmu, engkau menjadi termasyhur antara semua bangsa. Akulah yang menyebabkan engkau secantik itu!” Demikianlah firman TUHAN Raja.
15 “Tetapi engkau menyalahgunakan kecantikanmu dan keharuman namamu. Engkau tidur dengan sesiapa sahaja yang lalu.
16 Engkau menghiasi tempat pemujaanmu dengan pakaianmu, dan seperti pelacur engkau memberikan tubuhmu kepada setiap orang.
17 Engkau menggunakan emas dan perak yang Kuberikan itu untuk membentuk patung-patung orang lelaki, lalu engkau berbuat cabul dengan patung itu.
18 Engkau mengambil pakaian-pakaian bersulam yang Kuberikan kepadamu lalu engkau mengenakannya pada patung-patung itu. Kepada patung itu engkau mempersembahkan minyak zaitun dan kemenyan yang engkau terima daripada Aku.