48 “Demi Aku, Allah yang hidup,” TUHAN Raja berfirman, “adikmu, Sodom dan pekan-pekan di sekitarnya, belum pernah melakukan kejahatan yang engkau lakukan bersama dengan pekan-pekan di sekitarmu.
49 Sodom dan anak-anaknya sombong kerana mereka mempunyai banyak makanan serta dapat hidup dengan tenang dan aman. Tetapi mereka tidak menolong orang yang miskin dan susah.
50 Mereka sombong dan degil, serta melakukan perkara-perkara yang Aku benci. Oleh itu Aku membinasakan mereka, sebagaimana yang engkau tahu.
51 Dosa Samaria tidak sampai separuh daripada dosamu. Perbuatanmu lebih menjijikkan daripada segala perbuatannya. Kerana engkau sangat jahat, Samaria dan Sodom seakan-akan tidak bersalah jika dibandingkan dengan engkau.
52 Sekarang engkau terpaksa menanggung aib. Dosamu jauh lebih besar daripada dosa saudara-saudaramu. Mereka seakan-akan tidak bersalah jika dibandingkan dengan engkau. Engkau harus malu dan menanggung aib, kerana saudara-saudaramu kelihatan suci.”
53 TUHAN berfirman kepada Yerusalem, “Aku akan memulihkan kemakmuran Sodom dan pekan-pekan di sekitarnya; demikian juga Samaria serta pekan-pekan di sekitarnya. Engkau pun akan Kujadikan makmur.
54 Engkau akan berasa malu terhadap dirimu sendiri. Kerana keadaanmu yang memalukan itu, saudara-saudaramu akan sedar betapa baiknya keadaan mereka.