51 Dosa Samaria tidak sampai separuh daripada dosamu. Perbuatanmu lebih menjijikkan daripada segala perbuatannya. Kerana engkau sangat jahat, Samaria dan Sodom seakan-akan tidak bersalah jika dibandingkan dengan engkau.
52 Sekarang engkau terpaksa menanggung aib. Dosamu jauh lebih besar daripada dosa saudara-saudaramu. Mereka seakan-akan tidak bersalah jika dibandingkan dengan engkau. Engkau harus malu dan menanggung aib, kerana saudara-saudaramu kelihatan suci.”
53 TUHAN berfirman kepada Yerusalem, “Aku akan memulihkan kemakmuran Sodom dan pekan-pekan di sekitarnya; demikian juga Samaria serta pekan-pekan di sekitarnya. Engkau pun akan Kujadikan makmur.
54 Engkau akan berasa malu terhadap dirimu sendiri. Kerana keadaanmu yang memalukan itu, saudara-saudaramu akan sedar betapa baiknya keadaan mereka.
55 Mereka akan menjadi makmur semula, dan engkau serta pekan-pekanmu pun akan dipulihkan.
56 Bukankah engkau pernah mentertawakan Sodom pada masa engkau masih sombong dahulu,
57 sebelum kejahatanmu didedahkan? Sekarang engkau sama seperti dia; engkau menjadi bahan tertawaan orang Edom, Filistin, dan negeri-negeri jiran yang membenci engkau.