17 Dia tidak mahu melakukan kejahatan dan tidak minta faedah apabila meminjamkan wang. Dia mematuhi perintah-Ku dan mentaati hukum-Ku. Orang itu tidak akan mati kerana dosa bapanya, tetapi dia pasti akan hidup.
18 Sebaliknya, bapanya yang menipu, merompak dan selalu melakukan kejahatan terhadap semua orang, akan mati kerana dosa yang telah dilakukannya sendiri.
19 Mungkin kamu bertanya mengapa anak itu tidak menanggung akibat daripada dosa bapanya. Jawapannya adalah anak itu berbuat yang adil dan baik. Dia mentaati hukum-Ku dan melakukannya dengan setia. Oleh itu dia pasti akan hidup.
20 Orang yang berdosa akan mati. Seorang anak tidak usah menanggung akibat daripada dosa bapanya. Demikian juga seorang bapa tidak usah menanggung akibat daripada dosa anaknya. Seorang yang baik akan menerima ganjaran kerana kebaikannya, dan seorang yang jahat akan menanggung akibat daripada kejahatannya.
21 Jika seorang jahat berhenti berbuat dosa, dan mula mentaati hukum-Ku, serta melakukan apa yang benar dan baik, dia tidak akan mati. Dia pasti akan hidup.
22 Semua dosanya akan diampunkan, dan dia akan hidup kerana dia melakukan yang benar.
23 Adakah kamu menyangka bahawa Aku suka melihat orang jahat mati?” firman TUHAN Raja. “Tidak! Aku mahu dia bertaubat dan hidup.