1 Pada hari kesepuluh, bulan kelima, dalam tahun ketujuh masa kami dalam buangan, beberapa orang pemimpin masyarakat Israel datang bertanya kepadaku tentang kehendak TUHAN. Mereka duduk di hadapanku.
2 Kemudian TUHAN berfirman kepadaku,
3 “Hai manusia fana, berkatalah kepada pemimpin-pemimpin ini. Beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN Raja berfirman begini: Kamu datang hendak menanyakan kehendak-Ku, bukan? Demi Aku, Allah yang hidup, Aku tidak akan membenarkan kamu menanyakan apa-apa pun. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.
4 Hai manusia fana, adakah engkau bersedia menjatuhkan hukuman kepada mereka? Kalau engkau sedia melakukan hal itu, ingatkanlah mereka tentang segala perbuatan jijik yang dilakukan oleh nenek moyang mereka.
5 Sampaikanlah firman-Ku kepada mereka. Ketika Aku memilih Israel, Aku membuat perjanjian dengan mereka. Aku menyatakan diri-Ku kepada mereka di Mesir dan memberitahu mereka, ‘Akulah TUHAN, Allah kamu.’
6 Ketika itulah Aku berjanji akan membawa mereka keluar dari Mesir, dan memimpin mereka ke tanah yang telah Kupilih untuk mereka, tanah yang kaya dan subur, dan terbaik.