16 Aku berbuat demikian kerana mereka telah menolak perintah-Ku, melanggar hukum-Ku, dan mencemarkan hari Sabat. Mereka lebih suka menyembah berhala-berhala mereka.
17 Tetapi kemudian Aku mengasihani mereka. Aku tidak membunuh mereka di padang gurun itu.
18 Sebaliknya Aku memberikan amaran kepada kaum muda: Jangan patuh kepada hukum nenek moyang kamu; jangan ikut adat resam mereka, dan jangan najiskan diri dengan menyembah berhala-berhala mereka.
19 Aku TUHAN, Allah kamu. Taatilah hukum dan perintah-Ku.
20 Rayakanlah hari Sabat sebagai tanda perjanjian antara Aku dengan kamu, untuk mengingatkan kamu bahawa Akulah TUHAN, Allah kamu.
21 Tetapi generasi kaum muda itu pun melawan Aku. Mereka melanggar hukum-Ku dan mengabaikan perintah-Ku yang memberikan hidup kepada sesiapa yang mentaatinya. Mereka mencemarkan hari Sabat. Aku telah bersedia untuk membiarkan mereka merasakan segala kedahsyatan kemurkaan-Ku di padang gurun itu dan Aku hendak membunuh mereka semua.
22 Tetapi Aku tidak berbuat demikian, kerana hal itu akan menyebabkan nama-Ku dihina antara bangsa-bangsa yang telah melihat Aku membawa umat Israel keluar dari Mesir.