21 Tetapi generasi kaum muda itu pun melawan Aku. Mereka melanggar hukum-Ku dan mengabaikan perintah-Ku yang memberikan hidup kepada sesiapa yang mentaatinya. Mereka mencemarkan hari Sabat. Aku telah bersedia untuk membiarkan mereka merasakan segala kedahsyatan kemurkaan-Ku di padang gurun itu dan Aku hendak membunuh mereka semua.
22 Tetapi Aku tidak berbuat demikian, kerana hal itu akan menyebabkan nama-Ku dihina antara bangsa-bangsa yang telah melihat Aku membawa umat Israel keluar dari Mesir.
23 Oleh itu Aku berjanji lagi di padang gurun itu. Aku bersumpah bahawa Aku akan mencerai-beraikan mereka ke seluruh dunia.
24 Aku berbuat demikian kerana mereka telah menolak perintah-Ku, melanggar hukum-Ku, mencemarkan hari Sabat, dan menyembah berhala-berhala yang dipuja oleh nenek moyang mereka.
25 Kemudian Aku memberi mereka hukum yang tidak baik dan perintah yang tidak dapat memberikan hidup.
26 Aku membiarkan mereka menajiskan diri dengan persembahan mereka sendiri. Aku membiarkan mereka mempersembahkan anak lelaki sulung mereka sebagai korban. Hal itu berlaku untuk menghukum mereka supaya mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.
27 Sekarang, hai manusia fana, sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka. Nenek moyang mereka menghina Aku lagi dengan ketidaksetiaan mereka.